suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Baca juga: Suspek Tetak Polis Di Kepong Didakwa Tertekan Ditinggalkan Kekasih
Jasin: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, esok.
Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom, berkata pihaknya berharap orang ramai menunjukkan minat keluar mengundi kerana pilihan raya kali ini membabitkan PRN dan bukannya pilihan raya kecil.
Beliau berkata, pengundi juga disaran hadir lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan, terutama berikutan ramalan cuaca yang mungkin hujan esok.
“Jadi, pengundi disaran datang lebih awal atau membawa payung sekiranya hujan.
“Walaupun hujan, saya harap orang ramai tetap keluar mengundi kerana itu yang paling penting,” katanya kepada pemberita ketika meninjau persiapan pengundian di Dewan Platinum, Politeknik Melaka bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, SPR akan meneruskan penggunaan sistem Sistem Optical Character Recognition-Voter Attendance (OCR-VA) bagi membolehkan data kehadiran pengundi dikumpul dan dipaparkan secara masa nyata.
Katanya, sistem berkenaan membolehkan orang ramai, penganalisis politik dan pihak berkepentingan mendapatkan maklumat terkini mengenai jumlah pengundi yang sudah hadir ke pusat mengundi.
“Ini kerana sistem berkenaan membolehkan data kehadiran pengundi diperoleh secara masa nyata dan orang ramai boleh melayari laman web SPR untuk melihat jumlah pengundi yang sudah keluar mengundi.
“Maklumat itu bukan sahaja berguna kepada SPR, malah turut memberi manfaat kepada penganalisis politik dan pihak lain yang berminat.
“Sebelum ini, kemas kini jumlah kehadiran pengundi hanya dibuat setiap jam, tetapi menerusi sistem ini, maklumat boleh diperoleh secara masa nyata,” katanya.
Azmi berkata, setakat ini petugas pilihan raya dilihat dapat menyesuaikan diri dengan penggunaan sistem berkenaan yang disifatkannya mudah digunakan dan tidak terlalu rumit.
Katanya, penggunaan OCR-VA juga tidak memberi kesan serius terhadap tempoh masa pengundian atau kerahsiaan undi seseorang pengundi.
“Justeru, kita meneruskan penggunaannya sebagai salah satu usaha memodenkan sistem pengundian negara.
“Saya juga berpendapat sistem ini tidak menjejaskan langsung kerahsiaan undi dan tidak memberi kesan ketara terhadap tempoh masa yang diambil pengundi untuk mengundi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan pengundi supaya menyemak pusat mengundi dan saluran masing-masing menerusi MySPR sebelum hadir menunaikan tanggungjawab esok.
Katanya, semakan awal itu dapat memudahkan urusan pengundi sebaik tiba di pusat mengundi, sekali gus mengelakkan kekeliruan mengenai lokasi dan saluran yang perlu dituju.
Katanya, pengundi yang tidak mempunyai akses internet boleh membuat semakan di kaunter disediakan di pusat mengundi.
© New Straits Times Press (M) Bhd