LATEST
Education

Ketika kita lena, mereka berdepan bahaya

Ketika kita lena, mereka berdepan bahaya

Petaling Jaya: Insiden seorang anggota polis yang mengalami kecederaan parah selepas ditetak menggunakan parang oleh seorang lelaki warga asing di Desa Aman Puri, Kepong, pada 11 November lalu sewajarnya membuka mata masyarakat tentang risiko dan pengorbanan yang dihadapi oleh anggota keselamatan dalam menjalankan amanah mereka.

Kejadian yang menggemparkan itu berlaku apabila sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke sebuah kediaman susulan laporan orang awam mengenai seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan bertindak agresif.

Baca juga: Bolehkah solat dengan pakaian tidur?

Bagaimanapun, situasi bertukar cemas apabila suspek menyerang anggota polis menggunakan dua bilah parang. Serangan tersebut mengakibatkan seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal berusia 26 tahun mengalami kecederaan serius sehingga pergelangan tangan kanannya terputus, selain kecederaan di bahagian kepala dan badan.

Suspek kemudiannya melarikan diri sebelum berjaya dikesan berhampiran sebuah taman permainan. Ketika usaha menahannya dilakukan, suspek sekali lagi menyerang anggota polis menggunakan senjata tajam sehingga beberapa das tembakan terpaksa dilepaskan bagi mempertahankan diri. Suspek kemudiannya disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Anggota polis yang cedera pula dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan untuk menyelamatkan pergelangan tangannya.

Masyarakat sering melihat anggota polis sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan menguatkuasakan undang-undang. Namun, tidak semua menyedari bahawa tugas tersebut turut menuntut keberanian, pengorbanan fizikal dan kesanggupan berhadapan dengan situasi yang boleh mengancam nyawa.

Mereka tidak semestinya mengetahui apa yang bakal berlaku ketika menerima sesuatu arahan atau bergegas ke lokasi kejadian. Dalam keadaan tertentu, mereka perlu bertindak pantas demi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk serta melindungi keselamatan orang awam.

Hakikatnya, menjaga keselamatan manusia merupakan suatu tanggungjawab yang besar dan mempunyai nilai kemanusiaan yang tinggi.

 

Dua mata yang mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT

Menariknya, Islam turut memberikan perhatian terhadap golongan yang mengorbankan masa dan tenaga untuk menjaga keselamatan serta melindungi orang lain. Rasulullah SAW pernah bersabda, maksudnya: “Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka: mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang berjaga malam untuk berkawal di jalan Allah.”

Hadis ini merupakan riwayat Abdullah bin Abbas RA dalam Sunan al-Tirmizi, hadis no. 1639. Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hadis Hasan. Hadis ini turut diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam Syu‘ab al-Iman (no. 775), Ibn Abi ‘Asim dalam al-Jihad (no. 146) dan Abu Nu‘aym dalam Hilyat al-Awliya’ (5/209), dengan sedikit perbezaan lafaz.

Hadis ini menjelaskan dua golongan yang mendapat kemuliaan di sisi Allah SWT. Pertama, mereka yang menitiskan air mata kerana takut kepada Allah SWT, sama ada ketika bertaubat, berzikir mahupun melakukan ketaatan kepada-Nya. Kedua, mereka yang berjaga malam untuk berkawal di jalan Allah SWT, khususnya mempertahankan kawasan sempadan umat Islam daripada ancaman musuh demi mengharapkan ganjaran daripada-Nya.

Para ulama turut menjelaskan bahawa pengertian berjaga di jalan Allah SWT mempunyai ruang penghayatan yang lebih luas, termasuk jihad, menuntut ilmu, ibadah haji serta usaha melawan hawa nafsu dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah SWT.

Dalam konteks kejadian di Kepong, hadis ini mengajak kita merenungkan betapa besarnya nilai pengorbanan insan yang sanggup berhadapan dengan risiko demi menjaga keselamatan orang lain. Walaupun tugas anggota polis tidak boleh disamakan secara langsung dengan konteks asal hadis, usaha mereka memelihara keamanan dan melindungi masyarakat merupakan suatu amanah yang wajar dihargai.

Sesungguhnya, keamanan yang dinikmati masyarakat hari ini turut bergantung kepada pengorbanan mereka yang bertugas ketika orang lain sedang berehat. Justeru, insiden ini seharusnya menyedarkan kita agar tidak memandang ringan tanggungjawab serta pengorbanan anggota keselamatan yang mempertaruhkan keselamatan diri demi kesejahteraan masyarakat.

Satu perkara yang wajar direnungkan ialah sikap masyarakat yang kadangkala hanya memberikan perhatian terhadap pengorbanan anggota keselamatan apabila sesuatu kejadian buruk berlaku.

Apabila anggota polis cedera ketika bertugas, barulah timbul kesedaran tentang risiko pekerjaan mereka. Sedangkan penghargaan sepatutnya diberikan secara berterusan, bukan hanya ketika nama mereka menjadi perhatian masyarakat.

Selain itu, masyarakat juga perlu mengelakkan tindakan menyebarkan rakaman kejadian yang mengandungi unsur keganasan tanpa pertimbangan sewajarnya. Penyebaran kandungan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan sensitiviti mangsa dan keluarga, malah berpotensi mengganggu siasatan serta menimbulkan persepsi yang tidak tepat.

Dalam masa yang sama, insiden ini tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membina kebencian terhadap mana-mana bangsa atau kewarganegaraan. Perbuatan jenayah perlu dinilai berdasarkan tindakan individu, bukannya latar belakang kelompok masyarakat tertentu.

 

Keamanan bukan tanggungjawab polis semata-mata

Akhirnya, insiden di Kepong ini mengingatkan kita bahawa keamanan bukan sesuatu yang hadir dengan sendirinya. Terdapat insan yang setiap hari menggalas tanggungjawab untuk memastikan masyarakat dapat menjalani kehidupan dalam keadaan selamat.

Kita mungkin tidak melihat setiap pengorbanan mereka, tetapi itu tidak bermakna pengorbanan tersebut tidak bernilai.

Doakan agar anggota polis yang cedera diberikan kesembuhan sepenuhnya dan dipermudahkan urusan rawatannya. Semoga segala pengorbanan anggota keselamatan yang melaksanakan tugas dengan penuh amanah diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

Jangan tunggu sehingga seseorang tercedera atau kehilangan nyawa untuk kita memahami betapa berharganya insan yang menjaga keamanan negara.

Mereka berjaga ketika kita lena. Mereka berhadapan dengan bahaya ketika kita menikmati kehidupan yang aman.

 

Oleh Mohd Shahrizal Faizal

Penulis merupakan Mahasiswa Tahun akhir di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

More in Education

View all

Latest news