Kemenangan sebagai Creator of the Year di TikTok Awards Malaysia 2026 diraikan Adam Shamil dengan mengumumkan enam janji bernilai lebih RM100,000 menggunakan wang sendiri, termasuk bantuan pendidikan, sokongan buat keluarga kakitangan dan sumbangan kepada warga emas.
Menerusi perkongsian di TikTok, Adam berkata dia menerima hampir dua juta undian. Sokongan itu mendorongnya berkongsi kegembiraan dengan mereka yang membantu mengangkatnya sebagai pemenang.
Baca juga: Ketika kita lena, mereka berdepan bahaya
“Tetapi apa artinya sebuah kemenangan kalau hanya saya seorang yang dapat merasakan nikmatnya? Jadi hari ini, dengan penuh rasa syukur, saya mempersembahkan Majlis Manifesto Rakyat 2026,” katanya, semalam
Adam akan mengagihkan 1,000 croffle secara percuma di Chuangkendang, Gaya Street, bermula jam 12.30 tengah hari. Agihan itu terbuka kepada orang ramai, termasuk mereka yang selama ini belum berpeluang mencuba produk berkenaan.
Beliau turut memperuntukkan RM15,000 untuk membantu keluarga kakitangan Chuangkendang menjelaskan bil elektrik dan air tertunggak atau menampung keperluan asas. Inisiatif itu lahir daripada pengalamannya ketika kecil, apabila keluarganya pernah terputus bekalan elektrik dan air kerana tidak mampu membayar bil.
Adam turut memperkenalkan The Adam Shamil Education Fund, dana bernilai RM20,000 yang akan disalurkan kepada 10 pelajar pada fasa pertama. Setiap penerima akan mendapat RM2,000 bagi menampung keperluan seperti komputer riba, buku dan yuran pengajian.

Beliau akan memilih sendiri penerima dan meminta pelajar yang memerlukan bantuan berkongsi di ruangan komen bagaimana dana itu boleh membantu mereka.
“Saya mungkin tidak dapat untuk membiayai seluruh perjalanan kamu tetapi saya harap dapat membantu kamu untuk mengambil langkah yang pertama untuk memulakan impian itu.” jelasnya.
Bukan itu sahaja, terinspirasi daripada nenek yang membesarkannya, Adam memperuntukkan lagi RM10,000 untuk membantu 10 warga emas yang memerlukan. Orang ramai boleh mencalonkan individu yang memerlukan bantuan menerusi ruangan komen.
Adam turut mengajak pelajar mencadangkan sekolah atau universiti yang boleh dikunjunginya untuk berkongsi pengalaman. Mereka diminta menyatakan nama institusi dan sebab mereka mahu beliau datang.
Bagi janji terakhir, Adam menawarkan Chunk and Done secara percuma seumur hidup kepada ibu dan neneknya sebagai tanda penghargaan kepada dua insan yang membesarkannya.
“Sebab tanpa mereka, saya mungkin tidak akan berada di sini pada hari ini.” tambahnya lagi.