LATEST

FAM teliti dokumen, bukti insiden ‘panas’ aksi Kuching City-Selangor

FAM teliti dokumen, bukti insiden  ‘panas’ aksi Kuching City-Selangor

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Pengurusan diabetes diperkukuh, 12,000 petugas disasar dilatih

Kuala Lumpur: Laporan dan bukti membabitkan insiden kekecohan pemain serta pegawai pasukan Kuching City dan Selangor ketika aksi separuh akhir kedua Piala FA, Ahad lalu sudah berada dalam tangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya sudah menerima laporan rasmi daripada kedua-dua pasukan terbabit berhubung insiden kekecohan di Stadium Taha Ariffin, Kuching itu.

Noor Azman menjelaskan laporan berkenaan akan diteliti bersama laporan rasmi daripada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) serta segala dokumen dan bukti berkaitan bagi memastikan perkara itu dapat ditangani mengikut peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, MFL pada Selasa lalu menyerahkan segala maklumat daripada komisioner perlawanan, koordinator perlawanan, kumpulan pengadil, penilai pengadil dan Ketua Pegawai Medan berkaitan insiden itu kepada FAM.

“FAM memandang serius setiap insiden yang boleh menjejaskan aspek keselamatan pemain dan pegawai serta imej bola sepak negara. Sehubungan itu, FAM akan memastikan setiap laporan dan maklumat berkaitan diberikan perhatian sewajarnya.

“Sebarang keputusan atau hukuman hanya dapat ditentukan selepas Jawatankuasa Tatatertib FAM bermesyuarat dan meneliti laporan serta bukti berdasarkan peraturan dan prosedur tatatertib yang berkuat kuasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Taha Ariffin, Kuching itu dicemari dengan insiden kekecohan antara pegawai dan pemain kedua-dua pasukan di bangku simpanan pada penghujung masa tambahan.

Kekecohan itu dikatakan berlaku susulan tindakan pemain tengah Kuching City, Nazmi Faiz Mansor berlari ke arah ketua jurulatih Selangor, Kim Pan Gon yang berada di kawasan bangku simpanan ketika meraikan jaringan sendiri pemain Gergasi Merah, Mukhairi Ajmal Mahadi.

Pan Gon pada sidang media selepas perlawanan meminta MFL menyiasat tindakan yang dilakukan Nazmi hingga mencetuskan kekecohan.

Selain insiden itu, penyokong Selangor turut mempertikai mutu pengadilan terutama membabitkan keputusan pengadil memberikan sepakan penalti kepada Kuching City.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news