LATEST

Umar sasar tiga emas

Umar sasar tiga emas

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Nak Beli Rumah Pertama? The Straits Tawar Rumah Teres Dua Tingkat Untuk Keluarga Muda!

Kuala Lumpur: Pelari 400 meter (m) lelaki negara, Umar Osman meletakkan sasaran memburu tiga pingat emas pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2026 yang bakal berlangsung di Malaysia dari 10 hingga 20 Disember depan.

Jelas Umar, misi utama pada kejohanan itu adalah mempertahankan emas terlebih dahulu dalam 400m dan 800m sebelum meneruskan momentum cemerlang dalam acara seterusnya.

“Saya akan beraksi dalam acara 400m, 800m dan 4x400m. Sasaran peribadi saya adalah mendapatkan tiga pingat emas daripada semua acara disertai. Saya tidak meletakkan sasaran masa tertentu, sebaliknya mahu mempertahankan pingat emas yang dimenangi,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, pada edisi Surabaya-Malang 2024, pelari kelahiran Johor itu berjaya membantu kontinjen negara meraih kedudukan pertama dan itu adalah penampilkan pertamanya pada kejohanan berkenaan.

Selain itu, ketika ditanya mengenai persiapan, Umar menyatakan dia memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan fizikal, teknik dan mental bagi memastikan berada pada tahap terbaik menjelang kejohanan itu.

“Alhamdulillah, setakat ini persiapan berjalan lancar. Saya memberikan fokus sepenuhnya kepada latihan dari segi fizikal, teknik dan mental. Latihan juga semakin intensif bagi memastikan saya berada pada tahap terbaik sebelum kejohanan nanti,” katanya.

Bagaimanapun, Umar mengakui kondisinya ketika ini belum mencapai tahap 100 peratus kerana masih berada dalam fasa persediaan asas bagi menghadapi cabaran musim depan.

Mengenai persaingan, pelari berusia 23 tahun itu menjangkakan saingan sengit daripada atlet negara lain yang pastinya turut membawa barisan terbaik masing-masing. Namun, dia memilih untuk memberikan tumpuan kepada persediaan dan prestasi sendiri berbanding terlalu memikirkan siapa yang bakal menjadi pencabar utama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news