LATEST

Anak ketiga Sanusi mungkin tak dapat duduki SPM, patah empat jari dan tulang rusuk

Anak ketiga Sanusi mungkin tak dapat duduki SPM, patah empat jari dan tulang rusuk

Anak perempuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mengalami kecederaan selepas motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan berhampiran Kampung Alor Setol, petang semalam. Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan di muka dan kepala selain patah empat jari serta tulang rusuk.

Dirawat di ICU

Memetik kenyataan yang dikongsi Urus Setia Penerangan Darul Aman – UPDA, mangsa yang berusia 20 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi membolehkan doktor memantau keadaannya serta menjalankan pemeriksaan lanjut bagi mengesan kemungkinan kecederaan dalaman.

Baca juga: Kerajaan Selangor belanja RM559 juta ganti paip air usang tahun depan

Muhammad Sanusi berkata, anak ketiganya itu masih memerlukan pemantauan rapi dan berkemungkinan dipindahkan ke wad biasa sekiranya keadaannya bertambah baik.

“Anak saya masih dirawat di ICU, doktor maklumkan perlu membuat pemantauan rapi terlebih dahulu.
“Esok mungkin boleh tukar ke wad biasa selepas pemeriksaan jika keadaannya lebih baik,” katanya.

Mungkin tak dapat ambil SPM

Dalam pada itu, kejadian berkenaan turut memberi kesan terhadap persediaan anaknya untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dijadualkan bermula 23 November ini.

Anaknya yang juga pelajar tahfiz sedang mengikuti program pembelajaran fast track di Kolej Islam Darul Ulum (KIDU), Pokok Sena, bagi membolehkannya menduduki peperiksaan berkenaan.

“Sepatutnya dia akan duduki SPM… nampaknya mungkin dia tak dapat teruskan sebab tangan kanannya cedera,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan daripada Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 4 petang ketika mangsa menunggang motosikal Yamaha X-Max 250 dari arah kolejnya di Pokok Sena menuju ke Alor Setar.

“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal yang ditunggangnya menyebabkan dia terbabas ke dalam longkang,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Foto: Muhammad Sanusi Md Nor

Beliau berkata, mangsa diberikan bantuan oleh orang awam dan pasukan perubatan sebelum dibawa ke HSB untuk rawatan lanjut serta dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Latest news