MASJID TANAH: Jentera dan pengundi Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kemungkinan taktik kempen saat akhir pihak lawan menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, esok.
Baca juga: Nak Beli Rumah Pertama? The Straits Tawar Rumah Teres Dua Tingkat Untuk Keluarga Muda!
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata peringatan itu penting bagi memastikan jentera parti tidak terpengaruh dengan sebarang provokasi, termasuk kemungkinan penggunaan bahan kempen tertentu atau politik wang.
Beliau berkata, pengundi juga perlu kekal dengan pendirian masing-masing tanpa dipengaruhi sebarang tawaran atau tindakan pihak tertentu pada saat akhir.
“Kita selalu mengingatkan pengundi, jika mereka menggunakan wang, ambillah, itu hak anda semua.
“Tetapi yang paling penting, kita tetapkan iman dan keteguhan hati kita untuk mengundi calon BN dan Perikatan Nasional (PN),” katanya selepas menyertai ‘flashmob’ BN di Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu, di sini, hari ini.
Turut hadir, calon BN DUN Lendu yang juga Ketua Pemuda UMNO Melaka, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid.
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi yang juga Pengerusi MARA berkata, seluruh jentera BN sentiasa diingatkan supaya mengamalkan pendekatan kempen berhemah dan tidak terjebak dengan budaya politik menyerang peribadi atau menyebarkan fitnah.
“Kita hanya menunjukkan prestasi kerja dan khidmat bakti kerajaan Melaka di bawah pemerintahan BN sebelum ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd