LATEST

Australia panggil semula Gordon, Valetini buru kebangkitan

Australia panggil semula Gordon, Valetini buru kebangkitan

London: Australia melakukan perubahan dalam usaha bangkit daripada kekalahan besar kepada England apabila memanggil semula Carter Gordon dan Rob Valetini bagi menghadapi Scotland dalam aksi Kejohanan Nations Championship di Murrayfield, Ahad ini.

Baca juga: Jenazah bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia selamat dikebumikan di Bayan Lepas

Kedua-dua pemain itu kembali memperkuatkan skuad Wallabies selepas kekalahan 22-45 kepada England minggu lalu yang menyaksikan Australia melepaskan lebih 40 mata buat kali ketiga berturut-turut.

Gordon kembali mengisi posisi fly-half menggantikan Declan Meredith selepas berehat sejak September lalu akibat patah kaki ketika menentang Argentina dalam aksi yang berkesudahan seri 28-28.

Valetini pula dijangka memperkukuhkan kekuatan Australia dalam perebutan bola di kawasan breakdown selepas sebelum ini hanya disenaraikan sebagai pemain simpanan ketika menentang England.

Pemain posisi blindside flanker itu akan bergandingan dengan kapten Harry Wilson dan Fraser McReight di barisan belakang, manakala Jeremy Williams beralih daripada posisi back-row ke lock bagi menggantikan Lukhan Salakaia-Loto.

Sementara itu, Joseph-Aukuso Suaalii yang beraksi di posisi sayap ketika menentang England kali ini akan mengisi posisi outside centre bergandingan dengan Len Ikitau.

Harry Potter pula kembali mengisi posisi sayap kiri Australia.Perlawanan itu turut menjadi peluang buat Australia memperbaiki prestasi selepas turut mengalami dua kekalahan besar kepada New Zealand sebelum tewas kepada England.

Scotland juga berdepan misi kebangkitan selepas tewas 21-43 kepada New Zealand di Murrayfield dalam aksi pembukaan November, meskipun Ewan Ashman mencipta hatrik pada separuh masa pertama.

Pengendali Scotland, Gregor Townsend melakukan dua perubahan dalam kesebelasan utama dengan memanggil semula penjaring try terbanyak negara itu, Darcy Graham serta pemain bek, Blair Kinghorn.

Kinghorn yang beraksi bersama Toulouse menggantikan Kyle Rowe, manakala Jamie Dobie diturunkan ke bangku simpanan bagi memberi laluan kepada Graham di posisi sayap.

Graham, 29, sebelum ini dijangka terlepas keseluruhan siri perlawanan November akibat kecederaan koyak otot bisep, namun pulih lebih awal daripada jangkaan selepas sempat beraksi bersama Edinburgh bulan lalu.

Beliau sudah meledak 38 try dalam 57 penampilan antarabangsa bersama Scotland.

Townsend turut mengekalkan barisan hadapan yang beraksi ketika menentang New Zealand, dengan Sione Tuipulotu terus diberi kepercayaan sebagai kapten dan bergandingan dengan Huw Jones di bahagian tengah.

Ben White dan Finn Russell sekali lagi dipilih sebagai gandingan half-back, manakala Ollie Leatherbarrow berpeluang membuat penampilan sulung antarabangsa jika diturunkan sebagai pemain gantian.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news