LATEST

McIlroy, Hatton kongsi pendahuluan di Dubai

McIlroy, Hatton kongsi pendahuluan di Dubai

Dubai: Rory McIlroy berkongsi kedudukan pendahulu bersama Tyrrell Hatton selepas dua pusingan Kejohanan DP World Tour di Dubai, apabila kedua-duanya mengumpul lima pukulan di bawah par.

Baca juga: Australia panggil semula Gordon, Valetini buru kebangkitan

McIlroy dari Ireland Utara mencatat dua pukulan di bawah par pada pusingan kedua, Jumaat, termasuk birdie di lubang terakhir untuk menyamai kedudukan Hatton dalam keadaan angin kencang di Earth Course, Jumeirah Golf Estates.

Pemain berusia 37 tahun itu sedang memburu gelaran kelapan Race to Dubai yang diberikan kepada pemain nombor satu Jelajah Eropah, namun berdepan cabaran selepas melakukan tiga bogey dalam enam lubang di sembilan lubang terakhir.

McIlroy mengakui keadaan padang yang sukar menyebabkan pemain mudah kehilangan pukulan, terutama apabila tersasar daripada fairway atau green.

“Sangat mudah untuk melakukan bogey di sini. Jika tersasar sedikit, sama ada gagal menemui fairway atau green, keadaan di sekitar green juga tidak begitu baik.

“Ia sangat mencabar apabila anda berada di luar posisi. Jadi, mudah untuk melakukan bogey, tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya melakukan birdie di lubang terakhir,” katanya.

Sementara itu, pemain Sepanyol, Eugenio Chacarra yang mendahului senarai mata Race to Dubai masih berpeluang memburu gelaran selepas melakukan chip-in birdie di lubang terakhir pusingan kedua.

Chacarra kini berkongsi kedudukan ke-11 dengan satu pukulan di bawah par, manakala beliau mengumpul 4,243.79 mata berbanding 3,709.86 mata milik McIlroy daripada 30 kejohanan yang diambil kira.

Juara kejohanan akan memperoleh 2,000 mata, sekali gus berpeluang merapatkan jurang 534 mata antara Chacarra dan McIlroy.

Hatton pula mengakui bimbang McIlroy mampu meninggalkan pencabar lain selepas permulaan cemerlang pada pusingan kedua, namun tiga bogey yang dilakukan pemain itu membolehkan saingan kembali terbuka.

“Dia mempunyai rekod yang luar biasa di padang ini dan keadaan permainan memang sesuai dengannya. Saya berpuas hati dengan kedudukan selepas dua pusingan dan berharap dapat bermain lebih baik pada hujung minggu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jon Rahm berada tiga pukulan di belakang pendahulu, sekali gus masih berpeluang mencabar kejuaraan, manakala Patrick Reed berdepan tugas sukar selepas mencatat 77 pukulan pada pusingan kedua untuk berada di kedudukan lapan di atas par, 13 pukulan di belakang pendahulu.

McIlroy turut mengakui keadaan padang kali ini antara paling sukar pernah dihadapinya sepanjang 17 tahun beraksi di venue berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news