LONDON: Pelantikan Mauricio Pochettino sebagai pengurus Manchester United dianggarkan menyebabkan perbelanjaan kelab itu bagi urusan melantik dan memecat pengurus serta pegawai kanan bola sepak melepasi angka 100 juta pound sterling (RM541 juta) sejak persaraan Alex Ferguson pada 2013, berdasarkan pengiraan media Britain.
Baca juga: Usia 22 Tahun, Aliff Rakib Kini Miliki Rumah Sendiri
United akan membayar kira-kira RM40 juta untuk membatalkan kontrak Pochettino bersama pasukan kebangsaan Amerika Syarikat (AS), lapor Sky Sports, manakala media Britain menganggarkan pemecatan Michael Carrick dan barisan kejurulatihannya akan menelan belanja sekurang-kurangnya RM27 juta.
Kos untuk mendapatkan pelepasan pembantu Pochettino daripada kontrak masing-masing juga berpotensi meningkatkan jumlah perbelanjaan itu.
Carrick dipecat semalam, kurang enam bulan selepas menandatangani kontrak dua tahun pada Mei lalu, dengan Pochettino dilantik menggantikannya.
Angka RM541 juta juta itu hanyalah anggaran dan bukannya jumlah rasmi yang disahkan kelab, selain merangkumi kos pelantikan serta pemecatan pengarah sukan dan pengurus.
The Telegraph mengira pelantikan Pochettino dan pemecatan Carrick akan menjadikan perbelanjaan United bagi urusan melantik serta memecat pegawai kanan bola sepak melebihi RM584 juta.
Ruben Amorim juga antara pelantikan yang menelan belanja besar apabila United membayar Sporting sebanyak RM50 juta untuk membatalkan kontrak, lapor Reuters ketika itu, sebelum memecatnya pada Januari 2026, hanya selepas 14 bulan mengendalikan pasukan.
Kelab itu kemudian merekodkan kos sekali bayar sebanyak RM44 juta berkaitan perpisahan dengan Amorim dan penstrukturan semula pasukan.
Menurut The Telegraph, akaun kewangan United menunjukkan pemecatan Erik ten Hag dan barisan kejurulatihannya menelan belanja RM56 juta, manakala perpisahan dengan Ole Gunnar Solskjaer pula membabitkan kos RM49 juta.
Akhbar itu turut menganggarkan kos berkaitan pemecatan Ralf Rangnick, barisan kejurulatihannya serta perubahan lain dalam operasi bola sepak kelab berjumlah RM79 juta.
Pemecatan Jose Mourinho pada 2018 menelan belanja RM106 juta, manakala perpisahan Louis van Gaal dua tahun sebelumnya membabitkan kos RM45 juta dan pengunduran David Moyes pada 2014 pula menelan belanja RM26 juta, menurut pengiraan The Telegraph.
United turut membayar Ajax sebanyak RM8.6 juta untuk melantik Ten Hag dan pembantunya, Mitchell van der Gaag, selain kira-kira RM5.4 juta kepada Molde ketika Solskjaer dilantik sebagai pengurus, menurut akhbar itu.
Kelab berkenaan juga menanggung kos ketika mendapatkan khidmat pengarah sukan, Dan Ashworth dari Newcastle United sebelum berpisah dengannya hanya lima bulan kemudian.
Ketibaan Pochettino menambah satu lagi jumlah besar kepada kos pergolakan selama 13 tahun yang diharungi United ketika kelab itu terus mencari kestabilan seperti yang pernah dikecapi sepanjang era Ferguson.
© New Straits Times Press (M) Bhd