KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) meminta kerajaan menambah baik beberapa dasar berkaitan industri pembinaan bagi memastikan kelangsungan operasi kontraktor, khususnya syarikat Bumiputera berskala kecil dan sederhana yang semakin terkesan akibat peningkatan kos.
Baca juga: Wanita maut, dipercayai dijerut
PKBM dalam kenyataan hari ini berkata, antara cadangan dikemuka termasuk memperluas skop Variation of Price (VOP) bagi menangani kenaikan kos bahan binaan, bahan api dan tenaga, selain memastikan peruntukan RM7 bilion bagi projek kontraktor Gred G1 hingga G4 diagihkan secara telus.
“PKBM turut mencadangkan supaya pengagihan projek berkenaan dilaksanakan melalui kaedah undian atau sebut harga bagi memastikan peluang penyertaan kontraktor diberikan secara adil.
“PKBM juga ingin meminta penjelasan berhubung cadangan pengambilalihan pengurusan Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB),” katanya, hari ini.
Selain itu, PKBM dalam kenyataan sama berkata, pihaknya memohon penangguhan selama setahun terhadap pelaksanaan keperluan pensijilan Anti-Bribery Management System (ABMS) yang dikaitkan dengan tarikh kuat kuasa 1 Januari 2027.
Katanya, anggaran kos pematuhan antara RM20,000 hingga RM30,000 berpotensi membebankan kontraktor kecil dan sederhana.
“PKBM menggesa pembayaran kemajuan kerja bagi projek kerajaan dilaksanakan mengikut jadual kontrak dan memastikan pengagihan kerja oleh pemegang konsesi kepada kontraktor Gred G1 hingga G4 dibuat secara adil, telus dan berasaskan kelayakan melalui kaedah undian atau sebut harga, tanpa tertumpu kepada kumpulan tertentu,” katanya.
Pada masa sama, PKBM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau terhadap isu dan cabaran dihadapi penggiat industri pembinaan negara.
Persatuan itu turut menghargai kesediaan Perdana Menteri mengadakan sesi libat urus bersama wakil industri sebelum pembentangan Belanjawan 2027 serta pertemuan susulan selepas pembentangan bagi meneliti hasil perbincangan dan langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan.
Menurut PKBM, pendekatan berkenaan memberi ruang kepada penggiat industri menyuarakan pandangan secara langsung kepada kerajaan, terutama berkaitan peningkatan kos operasi, tekanan aliran tunai dan peluang penyertaan kontraktor Bumiputera dalam projek pembangunan negara.
“PKBM berharap hasil sesi libat urus bersama Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan dapat diterjemahkan kepada tindakan lebih menyeluruh dan berkesan bagi memperkukuh daya saing serta kemampanan industri pembinaan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd