Singapura: Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti mula memberi tumpuan kepada pembentukan generasi baharu Selecao dengan menyenaraikan 15 pemain berusia bawah 23 tahun dalam skuad 26 pemain bagi menghadapi Jepun di Singapura, Sabtu ini.
Baca juga: Penemuan beg bagasi mencurigakan depan KLCC, polis tahan seorang lelaki
Pertemuan itu hadir lima bulan selepas Brazil menewaskan Jepun 2-1 menerusi jaringan Gabriel Martinelli pada masa kecederaan di Houston, Amerika Syarikat, ketika kempen Piala Dunia lalu.
Bagaimanapun, Ancelotti kini mahu melupakan kejayaan itu dan memberi perhatian kepada persiapan jangka panjang menjelang Copa America 2028 serta Piala Dunia 2030.
Beliau berkata, Piala Dunia lalu menandakan berakhirnya satu kitaran buat generasi pemain terdahulu, sekali gus membuka ruang kepada muka baharu untuk membina kekuatan pasukan.
“Piala Dunia itu menutup satu kitaran buat generasi pemain. Kini kami sedang membina generasi baharu yang lebih fokus dan kompetitif untuk menghadapi kejohanan rasmi akan datang iaitu Copa America 2028 dan Piala Dunia 2030.
“Saya fikir kami mempunyai banyak potensi. Kami sedang menilai pemain muda termasuk beberapa muka baharu dalam skuad ini dan kami sangat berpuas hati dengan apa yang ditunjukkan.
“Kami mempunyai pemain muda yang memiliki kualiti dan bakat tinggi, jadi kami melihat masa depan dengan penuh keyakinan,” katanya.
Pengendali berusia 67 tahun itu turut mengakui pemain muda berkenaan masih memerlukan pengalaman, namun perkembangan mereka setakat ini memberikan keyakinan terhadap perancangan pasukan.
Sementara itu, penyerang Barcelona, Raphinha yang berada dalam prestasi terbaik akan diberi tanggungjawab memakai lilitan kapten ketika menentang Jepun.
Raphinha berkata, perlawanan itu dijangka menjadi ujian sukar memandangkan Jepun memiliki kualiti tersendiri, selain menyifatkan pertemuan berkenaan setaraf aksi Piala Dunia.
“Ini tempoh pembinaan semula dengan kehadiran pemain baharu, tetapi saya melihat ramai pemain berkualiti tinggi yang mempunyai keinginan besar untuk memberikan segala-galanya demi jersi kebangsaan.
“Ini perlawanan bertaraf Piala Dunia seperti yang kita saksikan pada kejohanan lalu. Ia pasti sukar kerana kami tahu kualiti yang dimiliki skuad kebangsaan Jepun,” katanya.
Dalam pada itu, pengendali Jepun, Hajime Moriyasu yang dijangka meninggalkan jawatan selepas aksi menentang Paraguay, Selasa depan, turut mengimbas perjalanan lapan tahunnya bersama skuad Samurai Biru.
Beliau berkata, sepanjang tempoh itu terdapat banyak kejayaan diraih, namun mengakui masih ada beberapa perkara yang gagal dicapai, termasuk usaha memperkukuhkan kedalaman skuad kebangsaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd