LATEST

Ketiadaan pemain utama buka peluang tonggak baharu – Cheng Hoe

Ketiadaan pemain utama buka peluang tonggak baharu – Cheng Hoe

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak mahu ketiadaan beberapa pemain utama menjejaskan persiapan pasukan menjelang aksi persahabatan menentang China, sebaliknya melihat situasi itu sebagai peluang bagi pemain lain membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa.

Baca juga: Murid 12 tahun hamil, buruh ladang ditahan polis

Beliau mengakui skuad yang dibawa ke China bukanlah barisan paling ideal berikutan ketiadaan beberapa tonggak atas pelbagai faktor, namun tetap positif dengan kemampuan pemain yang diberi peluang menyarung jersi kebangsaan.

Cheng Hoe berkata pemain baharu juga mempunyai cita-cita dan impian untuk membuktikan kemampuan di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadikan perlawanan di China sebagai platform penting untuk mereka menimba pengalaman.

“Sebagai jurulatih, saya tidak boleh menjadikan ketiadaan pemain terbaik atau beberapa tonggak utama sebagai alasan.

“Saya positif dan mahu memberikan peluang kepada pemain untuk beraksi pada perlawanan antarabangsa ini. Paling penting, mereka memperoleh pengalaman dan keyakinan untuk perjalanan bersama pasukan kebangsaan,” katanya menerusi audio praperlawanan yang dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini.

Cheng Hoe ketika mengulas mengenai cabaran menentang China di Stadium Zhaoqing New District Sports Centre, Guangdong esok mengakui pasukan lawan mempunyai kelebihan dari segi kekuatan fizikal dan pengalaman pemain, selain tahap persaingan bola sepak lebih tinggi berbanding Malaysia.

Beliau bagaimanapun mahu anak buahnya memberikan tumpuan kepada prestasi sendiri dan percaya mereka mampu memberikan saingan kepada pasukan tuan rumah yang sudah layak ke Piala Asia itu.

Sebagai rekod, China menduduki ranking ke-96 dunia manakala Malaysia berada di tangga ke-133.

Malaysia gagal mencatat kemenangan dalam lima pertemuan terakhir menentang China sejak 2004, dengan rekod tiga kekalahan dan dua seri.

Pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada 2023 dalam aksi persahabatan antarabangsa berakhir dengan keputusan seri 1-1.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news