LATEST

Murid 12 tahun hamil, buruh ladang ditahan polis

Murid 12 tahun hamil, buruh ladang ditahan polis

am@hmetro.co.my

Baca juga: Bekas Ahli Parlimen Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin meninggal dunia

Kabong: Polis menahan lelaki berusia 28 tahun selepas seorang murid 12 tahun didapati hamil.

Kes itu terbongkar apabila ibu mangsa membawanya ke sekolah untuk memaklumkan kehamilan kanak-kanak itu kepada pihak pengurusan.

Wanita itu mahu supaya anaknya berhenti sekolah untuk berkahwin dengan suspek.

Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, guru besar sekolah itu bagaimanapun merujuk perkara itu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang kemudian mengarahkan satu laporan polis dibuat berikutan mangsa masih di bawah umur.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang bekerja sebagai buruh ladang kelapa sawit mengenali mangsa sejak pertengahan 2025.

“Mereka mula menjalinkan hubungan cinta pada awal tahun ini selain mangsa mengaku mengadakan hubungan seksual sebanyak tiga kali pada pertengahan Jun lalu.

“Mangsa menyedari kehamilannya kira-kira seminggu sebelum memaklumkan perkara itu kepada ibunya pada 11 November.

“Bertindak atas laporan, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Saratok menahan suspek di rumah panjang di Kabong di sini,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news