LATEST

JPN Pulau Pinang siasat dakwaan pelajar Tingkatan 5 ditampar, dicubit guru

JPN Pulau Pinang siasat dakwaan pelajar Tingkatan 5 ditampar, dicubit guru

am@hmetro.com.my

Baca juga: 29 sekolah di Pulau Pinang dinaik taraf kemudahan menjelang kemasukan Tahun Satu 2027

Georgetown: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang sudah mengarahkan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) menjalankan siasatan berhubung seorang wanita mendakwa anak yang juga pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah di Kubang Semang, di sini, ditampar berkali-kali, dicubit sehingga lebam dan dihina guru kerana tidak mampu skor dalam subjek Prinsip Perakaunan.

Pengarahnya, Mohamad Dziauddin Mat Saad berkata, pihak PPD juga sudah mengadakan pertemuan dengan pelajar dan keluarganya pada petang tadi.

Katanya, JPN Pulau Pinang akan beri kerjasama penuh dengan pihak berkuasa yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Pihak PPD sudah diarah menjalankan siasatan dan menyediakan syor tindakan serta penyelesaian lanjut.

“Fokus JPN Pulau Pinang ialah memberi khidmat bimbingan sosio emosi kepada pelajar berkenaan dalam persediaan bagi menduduki SPM (Sijil Pelajaran Malaysia),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, JPN Pulau Pinang tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku dalam kalangan kakitangannya.

Justeru, saya memohon semua pihak supaya menyokong ekosistem selamat pelajar dan guru terutama dalam fasa persediaan akhir mereka bagi menduduki SPM 2026,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai hantaran tular di Threads seorang wanita mendakwa anak perempuannya kini hilang keyakinan diri dan takut hendak ke sekolah susulan kejadian itu.

Malah, lebih membimbangkan, anaknya turut mengatakan tidak mahu menduduki SPM yang akan berlangsung minggu hadapan.

Hantaran wanita berkenaan juga turut ditanda kepada akaun Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek merayu supaya aduannya didengari.

Sementara itu, wanita berkenaan menerusi hantaran terkini memaklumkan kejadian yang menimpa anaknya sudah mendapat perhatian pihak Kementerian Pendidikan (KPM).

“Bagi perkembangan terkini, anak saya dibenar menduduki SPM di lokasi lain bagi memastikan dia dapat jalani peperiksaan dalam keadaan lebih selamat dan selesa.

“Kami sekeluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada YB Menteri Pendidikan, pihak KPM, JPN Pulau Pinang serta semua pihak yang membantu, berkongsi dan menyuarakan sokongan.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah memastikan anak saya dapat menduduki SPM dengan tenang,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news