audreymd@nst.com.my
Baca juga: BN, PN calonkan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri Melaka
Georgetown: Sebanyak 29 sekolah di Pulau Pinang menerima naik taraf infrastruktur dan kemudahan pembelajaran daripada Kementerian Pendidikan menjelang kemasukan sesi persekolahan Tahun Satu 2027.
Menerusi beberapa hantaran di Facebook, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang memaklumkan inisiatif di lima daerah itu membabitkan pembinaan bangunan tambahan menggunakan Sistem Binaan Berindustri (IBS), selain kerja penyelenggaraan, pengubahsuaian dan naik taraf bilik darjah.
“Usaha ini bertujuan meningkatkan kapasiti sekolah serta menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat untuk murid,” kata jabatan itu.
Di Seberang Perai Utara, sebanyak 13 sekolah membabitkan 1,336 murid menerima manfaat berkenaan, merangkumi enam sekolah yang menjalani penyelenggaraan dan naik taraf bilik darjah manakala tujuh lagi menerima bangunan tambahan IBS.
Kerja menaik taraf bilik darjah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Putra, SK Tasek Gelugor, SK Padang Menora, SK Pasir Gebu, SK Mak Mandin dan SK Pinang Tunggal.
Bangunan tambahan IBS pula dibina di SK Paya Keladi, SK Bertam Indah, SK Pokok Sena, SK Sungai Dua, SK Taman Senangan, SK Lahar Yooi dan SK Desa Murni.
Di daerah Barat Daya, lima sekolah menerima penambahbaikan infrastruktur melalui pembinaan bangunan tambahan IBS di SK Sungai Pinang, SK Telok Bahang dan SK Mutiara Perdana, serta pengubahsuaian dan naik taraf bilik darjah di SK Sungai Rusa dan SK Mutiara Perdana.
Sementara itu, empat sekolah terbabit di daerah Timur Laut, iaitu SK Tanjong Tokong dan SK Sungai Gelugor yang menjalani penyelenggaraan dan naik taraf bilik darjah, manakala bangunan tambahan IBS dibina di SK Tanjung Bunga dan SK Jelutong Barat.
“Di Seberang Perai Tengah, tiga sekolah, iaitu SK Bukit Teh, SK Macang Bubok dan SK Alma Jaya menerima bangunan tambahan IBS yang memanfaatkan 175 murid, manakala di Seberang Perai Selatan, empat sekolah menerima manfaat daripada kedua-dua inisiatif berkenaan.
“Ini membabitkan bangunan tambahan IBS di SK Sungai Kechil dan SK Bandar Tasek Mutiara, di samping pengubahsuaian dan naik taraf bilik darjah di SK Saujana Indah dan SK Batu Kawan,” kata jabatan itu.
Secara keseluruhan, jabatan itu memaklumkan inisiatif mencerminkan komitmen kementerian dalam memastikan sekolah di Pulau Pinang mempunyai kemudahan dan kapasiti yang mencukupi bagi menampung kemasukan murid baharu bagi sesi akademik 2027.
Jabatan itu berharap naik taraf terbabit akan meningkatkan keselesaan warga sekolah, sekali gus menyokong pendidikan berkualiti dan persekitaran pembelajaran yang lebih baik untuk generasi muda.
© New Straits Times Press (M) Bhd