aida_adilah@hmetro.com
Baca juga: Anwar tiba di Manila, bawa misi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN Ke-49
Kuala Lumpur: Pemain boling negara, Gillian Lim akhirnya menamatkan penantian untuk berdiri di podium tertinggi apabila merangkul pingat emas acara perseorangan wanita pada Kejohanan Tenpin Boling Asia 2026, hari ini.
Lebih manis, kejayaan itu hadir selepas Gillian melalui detik mencabar apabila mengalami pendarahan hidung ketika permainan pertama, namun situasi berkenaan gagal menggugat fokusnya untuk memburu kemenangan.
Gillian mempamerkan aksi cemerlang apabila mengumpul keseluruhan 1,368 jatuhan pin dalam enam permainan di Qatar Bowling Federation Bowling Center, sekali gus mengungguli saingan.
Pemain Taiwan, Li Yi-Rou terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas mengumpul 1,337 jatuhan pin, manakala Baek Seungja dari Korea Selatan meraih gangsa dengan 1,328 jatuhan pin.
Bagi Gillian, kejayaan itu cukup bermakna selepas sebelum ini meraih tiga pingat perak, sekali gus membuktikan kesabaran dan kerja keras akhirnya membuahkan hasil.
Katanya, pingat emas berkenaan bukan sahaja memberikan kelegaan, malah meningkatkan keyakinan dan motivasi untuk dirinya serta rakan sepasukan memburu lebih banyak kejayaan sepanjang kejohanan.
“Perasaan ini sangat luar biasa dan sejujurnya, ia satu kelegaan yang amat besar. Selepas memenangi tiga pingat perak, saya benar-benar mahu melangkah setapak lagi dan akhirnya berdiri di podium tertinggi.
“Saya sangat gembira kerana segala usaha keras selama ini membuahkan hasil dan pingat emas ini amat bermakna buat saya,” katanya.
Mengulas detik mencabar pada permainan pertama, Gillian mengakui pendarahan hidung yang dialaminya bukan permulaan ideal, namun dia enggan membiarkan keadaan itu menjejaskan tumpuan.
Sebaliknya, dia memilih untuk kekal tenang, bersabar dan memberikan perhatian kepada setiap pukulan bagi memastikan peluang untuk bangkit terus terbuka.
“Saya tahu masih banyak permainan perlu ditempuhi, jadi saya hanya memberikan tumpuan kepada proses pemulihan, kekal bersabar dan mengharungi setiap pukulan satu demi satu.
“Saya mengingatkan diri sendiri supaya terus berjuang dan memberikan peluang kepada diri untuk mengubah keadaan,” katanya.
Dalam pada itu, Gillian berkata kejayaan berkenaan turut menjadi suntikan keyakinan untuk menghadapi baki acara yang masih berlangsung, namun dia tidak mahu terlalu selesa dengan pencapaian diraih.
Katanya, setiap acara hadir dengan cabaran berbeza dan dia mahu mengekalkan momentum selain memberikan aksi terbaik bagi membantu Malaysia menambah koleksi pingat.
Sementara itu, seorang lagi pemain negara, Adelia Nur Irwan Syazalee menamatkan saingan di tempat kesembilan dengan 1,256 jatuhan pin, diikuti Faten Najihah Ahmad Faik di tangga ke-10 (1,250) dan Nur Syazwani Sahar di tempat ke-11 (1,247).
Sin Li Jane pula menduduki tempat ke-16 dengan 1,219 jatuhan pin, manakala Nora Lyana Nastasia Norkamal di kedudukan ke-18 (1,201).
Kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 22 November itu menyaksikan skuad negara masih berpeluang menambah koleksi pingat menerusi baki acara dipertandingkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd