KUALA LUMPUR: Kemenangan besar gabungan Perikatan Nasional-Barisan Nasional (PN-BN) yang merangkul 24 daripada 28 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ialah referendum rakyat yang mahukan perubahan kepimpinan serta hala tuju negara.
Baca juga: PRN Melaka: SPR umum BN-PN menang 24 kerusi, PH 4 DUN
Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata keputusan itu membuktikan Gelombang Biru terus membadai dan membawa mesej politik yang cukup jelas berhubung penolakan rakyat terhadap Pakatan Harapan (PH).
Beliau berkata, kekalahan mutlak PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) di semua kerusi yang ditandingi mereka di negeri itu bukanlah satu kebetulan politik, sebaliknya mencerminkan pola penolakan pengundi yang semakin nyata.
“Hakikatnya, PH bukan kerajaan pilihan rakyat. Gelombang penolakan ini bermula di Johor, diteruskan di Negeri Sembilan dan kini diterjemahkan pula di Melaka,” katanya dalam kenyataan, malam ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, apa yang lebih penting, keputusan PRN Melaka membuktikan WAWASAN selaku parti nasional yang berwajah Malaysia, semakin kukuh dan kian mendapat kepercayaan rakyat.
“WAWASAN bukan sahaja berjaya mempertahan DUN Bemban tetapi menang dengan majoriti lebih besar, manakala di DUN Kesidang yang menjadi kubu kuat DAP, WAWASAN tampil memberi saingan hebat.
“Kejayaan ini membuktikan politik inklusif berteraskan nilai dan agenda nasional mempunyai tempat dalam hati rakyat, iaitu WAWASAN juga menang besar di DUN Gemas dan merampas DUN Klawang serta Sikamat dalam PRN Negeri Sembilan baru-baru ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd