GEORGETOWN: Sepuluh premis perniagaan tanpa lesen dipercayai dikendalikan warga asing, diarahkan tutup dan peralatan disita dalam dua operasi penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Baca juga: Shuhaily masih Ketua Pengarah AKPS, PDRM belum terima arahan lanjut – KPN
Melalui hantaran berasingan di laman Facebook, MBPP memaklumkan operasi yang dijalankan di bawah Ops Tegas itu menyasarkan tujuh premis di sekitar KOMTAR, Air Itam dan Gelugor pada Khamis, diikuti tiga lagi di Batu Ferringhi dan Seri Tanjung Pinang, semalam.
MBPP berkata, operasi memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan tanpa lesen, premis yang diurus atau dikendalikan warga asing dan pelanggaran syarat lesen pihak berkuasa tempatan.
“Pemeriksaan turut mendedahkan pembabitan warga asing di premis ini, termasuk individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” kata majlis bandaraya itu.
MBPP berkata, tindakan penguatkuasaan terhadap 10 premis berkenaan merangkumi perintah penutupan, sitaan peralatan, rampasan barangan dan penurunan papan tanda, bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.
MBPP berkata, antara barangan disita termasuk dapur memasak, singki, rak makanan, alat pemotong dan peralatan perniagaan lain, manakala papan tanda melintang serta kain rentang turut diturunkan.
Katanya, premis berkenaan disita dengan pita keselamatan bagi memastikan aktiviti perniagaan dihentikan serta-merta sehingga semua isu ketidakpatuhan dan kacau ganggu awam diselesaikan.
“Notis bertulis turut dikeluarkan kepada pihak berkaitan, yang mengarahkan mereka supaya tidak menanggalkan atau merosakkan pita sitaan, menceroboh premis, atau meneruskan operasi di dalam mahupun di luar bangunan,” katanya.
Menurut MBPP, tindakan penguatkuasaan itu dijalankan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976, yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa tempatan untuk menjaga keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.
Ia menegaskan bahawa Ops Tegas akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, membabitkan warga asing yang melanggar peraturan, melanggar syarat lesen, atau menyebabkan kacau ganggu awam.
© New Straits Times Press (M) Bhd