LATEST
National

PERKESO salur lebih RM20 juta bayaran faedah LINDUNG 24 jam

PERKESO salur lebih RM20 juta bayaran faedah LINDUNG 24 jam

SANDAKAN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan bayaran faedah berjumlah RM20.23 juta menerusi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) kepada pencarum dan waris setakat 31 Oktober lalu.

Baca juga: Filipina juara Eurovision Asia, Aina raih tempat keempat

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata jumlah itu membabitkan 12,582 pencarum serta waris yang layak menerima pelbagai faedah gantian pendapatan daripada LINDUNG 24 Jam bagi memastikan kelangsungan sosioekonomi ketika ditimpa musibah.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 373 penerima adalah dari Sabah dengan faedah dibayar melebihi RM481,000.

“LINDUNG 24 Jam membuktikan skim itu bertindak sebagai perlindungan bagi memastikan pekerja dan keluarga mereka mendapat sokongan kewangan jika berlaku kemalangan.

“Justeru, saya menggesa semua pekerja khususnya di Sabah supaya memastikan perlindungan skim ini kekal aktif dan pencarum yang pernah memilih untuk keluar (opt-out) digalakkan menyertai semula skim ini,” katanya pada program Kenduri Rakyat i LINDUNG u @ Batu Sapi, di sini hari ini.

Selain komitmen merancakkan pasaran buruh, Khairul Firdaus berkata, penyediaan Elaun Bantuan Mobiliti (EBM) yang berkuat kuasa sejak 1 Oktober lalu mula memberikan manfaat kepada golongan sasar.

Beliau berkata, faedah terbaharu susulan pindaan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) itu merekodkan penyaluran peruntukan mencecah RM12,000 membabitkan 12 penerima layak, sekali gus menjadi pemangkin peralihan kerjaya dalam persekitaran pasaran buruh yang semakin dinamik.

“Kita mahu setiap peluang peralihan kerjaya mampu dimanfaatkan sepenuhnya tanpa dibatasi faktor geografi kerana kerajaan memahami bahawa ada pelbagai faktor diambil kira apabila menimbangkan tawaran kerja.

“Justeru, EBM ini akan memberi manfaat sebaiknya buat orang berinsurans menerusi Akta 800 termasuk generasi muda di Sabah,” katanya.

Mengenai program hari ini, Khairul Firdaus berkata, pendekatan turun padang mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI bagi memastikan manfaat perlindungan sosial sampai terus kepada rakyat tanpa mengira latar belakang, pekerjaan dan lokasi termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.

Beliau berkata, program itu juga membolehkan rakyat mendapat maklumat, nasihat dan perkhidmatan PERKESO secara terus di kaunter disediakan,

Selain itu katanya, pelbagai perkhidmatan ditawarkan oleh beberapa jabatan termasuk Jabatan Tenaga Kerja Sabah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan serta Jabatan Tenaga Manusia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news