ROME: Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho bakal kembali merasai bahang persaingan di atas padang selepas 11 tahun bersara apabila dijadual membuat penampilan bersama kelab divisyen ketiga Itali, Ravenna, esok.
Baca juga: PRN Melaka: Kerk Chee Yee pemenang paling muda, Ab Rauf Yusoh tertua
Bekas pemenang Ballon d’Or 2005 itu yang kini berusia 46 tahun, akan diturunkan dalam kesebelasan utama bagi aksi tetangga menentang Forli, sekali gus mencuri perhatian peminat bola sepak dunia.
Ronaldinho kali terakhir beraksi secara profesional bersama Fluminense pada tahun 2015 sebelum mengumumkan persaraan daripada bola sepak.
“Saya mahu menikmati hari yang hebat. Saya gembira berada di sini untuk memulakan sebuah perjalanan yang cukup istimewa.
“Presiden kelab mempunyai impian besar untuk Ravenna dan menjadi sebahagian daripada impian itu membuatkan saya gembira,” kata Ronaldinho kepada Sky Sports.
Presiden Ravenna, Ignazio Cipriani sebelum ini menyuarakan hasrat untuk membawa kelab berkenaan ke Serie A buat kali pertama dalam sejarah mereka.
Kepulangan Ronaldinho turut mencetuskan fenomena apabila Stadium Bruno Benelli yang biasanya mampu menampung 5,000 penonton dilaporkan habis dijual.
Malah, sebuah tempat duduk sementara berkapasiti 1,800 penonton turut dibina khusus untuk perlawanan itu dan dinamakan ‘R10’ sempena nama jolokan bekas bintang Barcelona berkenaan.
Ravenna yang kali terakhir beraksi di Serie B pada tahun 2008 kini menduduki tangga kedua kumpulan Serie C, enam mata di belakang pendahulu, Spezia.
Ronaldinho mengakui kepulangannya ke padang selepas sekian lama meninggalkan bola sepak memberikan pengalaman berbeza dalam kehidupannya.
“Kembali ke padang selepas sekian lama benar-benar sesuatu yang indah. Saya berada di sini untuk merasai detik istimewa dalam hidup.
“Sudah beberapa tahun saya berhenti bermain dan saya sudah memenangi segala-galanya yang pernah diimpikan. Kini pada usia 46 tahun, saya sudah melalui hampir segala pengalaman dalam bola sepak.
“Ini peluang yang berbeza dan saya mahu menjadi sebahagian daripada impian rakan-rakan yang bekerja untuk Ravenna,” katanya.
Menariknya, Ronaldinho juga berpeluang melakar satu lagi pencapaian peribadi apabila memburu jaringan ke-300 sepanjang kariernya selepas kali terakhir mencatatkan gol ke-299 lebih sedekad lalu.
Bekas pemain Paris Saint-Germain (PSG) itu turut pernah mencetuskan perhatian dunia apabila menjalani hukuman penjara di Paraguay selepas memasuki negara berkenaan menggunakan pasport palsu, malah sempat menyertai perlawanan futsal ketika berada di penjara.
Walaupun kepulangannya dilihat sebahagian daripada strategi pemasaran Ravenna, Cipriani berharap kehadiran legenda Brazil itu mampu membantu menghidupkan impian kelab untuk menembusi pentas tertinggi bola sepak Itali.
“Matlamat jangka panjang kami adalah membawa Ravenna naik ke Serie A,” tambahnya.
© New Straits Times Press (M) Bhd