Ayer Keroh: Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dicalonkan untuk meneruskan jawatan Ketua Menteri Melaka susulan kemenangan tidak rasmi Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di 24 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Baca juga: [RASMI] SPR sahkan BN peroleh majoriti mudah untuk bentuk kerajaan negeri
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengesahkan watikah pencalonan Ab Rauf akan dikemukakan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, malam ini.
“Maka dengan ini, saya mengumumkan bahawa Barisan Nasional dan Perikatan Nasional dengan ini mencalonkan Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rauf Yusof sebagai calon Ketua Menteri Melaka!” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap selepas mengumumkan kemenangan secara tidak rasmi BN-PN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam ini.
Ahmad Zahid berkata, kemenangan 24 kerusi itu membolehkan BN-PN membentuk kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga, sekali gus meneruskan pentadbiran di bawah kepimpinan Ab Rauf.
Menurutnya, keputusan berkenaan turut mencerminkan penerimaan pengundi terhadap rekod pentadbiran, kestabilan politik serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan kedua-dua gabungan.
“Alhamdulillah, mandat melebihi 2/3 majoriti ini membuktikan bahawa rakyat Melaka terus memilih rekod pencapaian dan kestabilan serta hala tuju pembangunan yang ditawarkan oleh BN dan PN berbanding retorik politik yang dimainkan sepanjang tempoh kempen,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kemenangan itu sebagai kesinambungan momentum ‘gelombang biru’ yang bermula di Johor, disusuli Negeri Sembilan dan kini diperkukuh di Melaka.
Katanya, kerjasama strategik BN-PN yang diterjemahkan sepanjang pilihan raya akan terus diperkukuh bagi membentuk kerajaan negeri lebih stabil, kukuh dan berwibawa.
- Senarai keputusan rasmi PRN Melaka ke-16
- Kemenangan hatrik BN-PN bukan alasan untuk bermegah – Ahmad Zahid
- PH terima keputusan PRN Melaka dengan hati terbuka, hormat mandat diberikan
- Berita terkini PRN Melaka ke16
© New Straits Times Press (M) Bhd