am@hmetro.com.my
Baca juga: Gillian pecah badi, raih emas Asia
Melaka: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari mengakui kekalahannya di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil bukan satu kejutan kerana beliau sudah menjangkakan defisit undi yang besar sebelum tempoh berkempen bermula.
Adly berkata, perkiraan awal sebelum pilihan raya menunjukkan beliau ketinggalan antara 5,000 hingga 6,000 undi, iaitu jurang yang gagal dirapatkan meskipun telah berkempen sepanjang tempoh 14 hari.
“Saya tidak terkejut kerana sejak awal lagi saya tahu saya ketinggalan agak jauh.
“Saya cuba mengejar sepanjang tempoh kempen 14 hari itu, namun masa yang ada tidak mencukupi,” katanya pada sidang media malam ini.
Adly yang juga penyandang kerusi DUN Bukit Katil mengakui kerjasama pilihan raya antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) turut menyumbang kepada keputusan berkenaan.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, kekurangan yang dikenal pasti sebelum hari pengundian akhirnya diterjemahkan dalam keputusan pilihan raya kali ini.
“Dari awal lagi kami tahu di atas kertas kami ketinggalan kira-kira 5,000 hingga 6,000 undi.
“Perkara itu dapat dilihat menerusi jumlah undi hasil kerjasama antara BN dan PN,” katanya.
Meskipun tewas, Adly berkata, beliau menghormati keputusan yang dibuat oleh pengundi di Bukit Katil sambil menegaskan rakyat mempunyai hak untuk menilai prestasinya sebagai bekas wakil rakyat mereka.
“Sebagai individu yang pernah berkhidmat di Bukit Katil, saya menghormati keputusan rakyat kerana mereka mempunyai pertimbangan tersendiri dalam membuat penilaian,” katanya.
Menurut keputusan tidak rasmi, calon PN, Ridzuan Sarif memenangi kerusi Bukit Katil dengan memperoleh 14,851 undi, menewaskan Adly yang meraih 8,382 undi dengan majoriti 6,469 undi.
© New Straits Times Press (M) Bhd