LATEST

Mekdi anjur rumah terbuka Deepavali di lima lokasi seluruh negara

Mekdi anjur rumah terbuka Deepavali di lima lokasi seluruh negara

am@hmetro.com.my

Baca juga: JPN Pulau Pinang siasat dakwaan pelajar Tingkatan 5 ditampar, dicubit guru

Kuala Lumpur: Tradisi rumah terbuka yang menjadi amalan masyarakat Malaysia terus diperkukuh apabila McDonald’s Malaysia (Mekdi) menganjurkan sambutan Deepavali di lima lokasi seluruh negara bagi menghimpunkan masyarakat berbilang kaum dalam suasana muhibah.

Meneruskan penganjuran sulung pada 2025, Rumah Terbuka Deepavali Mekdi tahun ini berlangsung selama dua hari bermula semalam, dengan orang ramai berpeluang berkumpul bersama keluarga, rakan dan komuniti setempat sambil menikmati pelbagai aktiviti serta hidangan sempena Pesta Cahaya itu.

Pengarah Kejuruteraan dan Fasiliti McDonald’s Malaysia, Ir Dr Kumaran Muthu berkata, amalan menjemput jiran, sahabat dan rakan sekerja meraikan perayaan bersama-sama adalah antara tradisi yang perlu terus dihargai kerana mampu mengeratkan hubungan masyarakat.

Beliau berkata, semangat berkongsi kegembiraan melalui hidangan dan pertemuan santai dapat membuka ruang kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang untuk mengenali antara satu sama lain dengan lebih dekat.

“Daripada satu jemputan untuk makan bersama, kita dapat mengenali satu sama lain dengan lebih dekat dan menjalin persahabatan.

“Semangat itulah yang ingin kami bawa ke restoran ini malam ini. Sama ada anda sendiri menyambut Deepavali atau hadir bersama rakan-rakan yang meraikannya, kami gembira anda dapat bersama kami,” katanya pada Rumah Terbuka Deepavali Mekdi di McDonald’s Pandu-Lalu Danau Kota, di sini, malam ini.

Sambutan Deepavali bermula di Danau Kota, Kuala Lumpur dan Meru Raya, Perak, sebelum diteruskan hari ini di Batu Caves, Selangor; Greenlane, Pulau Pinang dan Ulu Tiram, Johor.

Beliau berkata, penganjuran itu juga sebahagian daripada usaha berterusan syarikat berkenaan menjadikan restorannya sebagai ruang mesra untuk keluarga, sahabat dan jiran berkumpul sepanjang tahun menerusi sambutan pelbagai perayaan.

“Sebanyak 1,000 set hidangan percuma yang mengandungi Spicy Chicken McDeluxe, Apple Pie dan Coca-Cola Zero disediakan kepada pengunjung.

“Sambutan turut dimeriahkan dengan pelbagai permainan dan aktiviti keluarga serta persembahan artis tempatan termasuk Balan Kash, Dhilip Varman, Arulini Arumugam dan Zubir Khan,” katanya.

Beliau menjelaskan selain Deepavali, Mekdi turut menganjurkan rumah terbuka sempena Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan dan Gawai sepanjang tahun ini.

Dalam pada itu, Kumaran berkata, lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan dilaksanakan setiap tahun menerusi lebih 380 restoran syarikat itu di seluruh negara, termasuk program bersama kanak-kanak di rumah kebajikan, sokongan kepada sekolah setempat dan kerjasama dengan agensi kerajaan.

Katanya, komitmen terhadap kebajikan kanak-kanak dan keluarga turut dilaksanakan menerusi Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), melalui empat program teras merangkumi penyediaan penginapan kepada keluarga yang mempunyai anak menerima rawatan di hospital, bilik terapi sensori untuk kanak-kanak berkeperluan khas, bantuan pembedahan kanak-kanak dengan klef bibir serta bantuan persekolahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news