BRAGA: Portugal tidak bimbang berdepan tekanan tambahan selepas kehilangan khidmat Cristiano Ronaldo yang mengumumkan persaraan antarabangsa, kata tonggak tengah, Bernardo Silva menjelang aksi pertama pasukan itu tanpa kelibat bintang berkenaan.
Baca juga: Mantan MP Padang Besar, Zahidi Zainul Abidin meninggal dunia
Portugal bakal melayan kunjungan Denmark dalam aksi Liga Negara-Negara di Braga, awal pagi esok, dengan satu majlis penghormatan khas dirancang bagi mengenang jasa penjaring terbanyak sepanjang zaman negara itu.
Silva yang kini mewarisi lilitan kapten daripada Ronaldo mengakui penyerang berusia 41 tahun itu menjadi tumpuan utama penyokong sejak hampir dua dekad lalu, namun percaya rakan sepasukannya mampu mengendalikan tekanan tanpa kehadiran pemain berkenaan.
“Semua orang tahu betapa besarnya pengaruh Cristiano. Kebanyakan penyokong datang ke stadium untuk melihat Cristiano, malah ramai yang hadir semata-mata kerana dia. Perkara itu tidak akan berlaku lagi sekarang.
“Pemain pasukan kebangsaan sudah biasa berdepan perhatian, tekanan dan tanggungjawab, termasuk menjadi sasaran kritikan apabila keputusan tidak memihak kepada kami. Jadi, itu bukan masalah,” katanya kepada pemberita, Jumaat.
Menjelang perlawanan itu, Portugal merancang memberikan penghormatan kepada pemenang lima kali Ballon d’Or berkenaan, dengan media melaporkan skuad berkenaan akan memasuki padang memakai jersi nombor tujuh yang sinonim dengan Ronaldo.
Bagaimanapun, kehadiran Ronaldo pada majlis berkenaan masih belum dapat dipastikan susulan hubungannya yang dilaporkan tegang dengan jurulatih berpengalaman, Jorge Jesus pada September lalu.
Minggu lalu, Ronaldo mengumumkan keputusan untuk menamatkan karier antarabangsanya selepas mewakili Portugal sejak membuat penampilan sulung pada 2003.
Sepanjang 23 tahun bersama skuad kebangsaan, dia merekodkan 234 penampilan, sekali gus menjadi pemain paling banyak beraksi di peringkat antarabangsa, selain meledak 146 gol.
Jesus berkata, sumbangan Ronaldo tidak mungkin dilupakan dan menyifatkan majlis penghormatan itu sebagai langkah tepat untuk terus mengenang legasi legenda bola sepak Portugal berkenaan.
“Tiada siapa boleh melupakan 23 tahun Cris bersama pasukan kebangsaan serta segala sumbangannya.
“Saya fikir penghormatan ini adalah idea yang sangat baik untuk terus mengingatkan kita bahawa beliau adalah legenda bola sepak Portugal,” katanya.
Portugal sudah mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara selepas memenangi kesemua empat perlawanan dalam Kumpulan A4.
© New Straits Times Press (M) Bhd