LATEST

Pasaran harta tanah rekod RM60.31 bilion

Pasaran harta tanah rekod RM60.31 bilion

PASARAN harta tanah negara merekodkan 108,990 transaksi bernilai RM60.31 bilion pada suku ketiga 2026, meningkat 0.7 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Datuk Abdul Razak Yusak berkata, pertumbuhan itu mencerminkan keyakinan industri terhadap inisiatif strategik kerajaan menerusi kerangka Ekonomi MADANI.

Baca juga: Berbeza pandangan bukan lesen menghina

Beliau berkata, kerangka berkenaan menyediakan asas untuk memperkukuh pasaran harta tanah dan memberikan manfaat kepada rakyat.

Antara inisiatif yang digariskan dalam Belanjawan 2026 ialah peningkatan jaminan kerajaan sehingga RM20 bilion di bawah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) bagi pembiayaan perumahan.

Langkah itu membantu menggalakkan permintaan dalam pasaran harta tanah.

“Ia sekali gus memastikan rakyat mempunyai peluang memiliki rumah,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran Siaran Pasaran Harta Suku Ketiga 2026.

JPPH berkata, pergerakan harga kekal stabil, manakala aktiviti pembinaan dalam subsektor kediaman, komersial dan industri terus aktif.

Subsektor kediaman kekal mendominasi pasaran dengan menyumbang 61 peratus daripada keseluruhan transaksi.

Subsektor pertanian berada di tempat kedua dengan sumbangan 18.5 peratus.

“Prestasi tahun ke tahun menunjukkan subsektor komersial berkembang 5.3 peratus, manakala tanah pembangunan meningkat 5.2 peratus.

“Indeks Harga Rumah Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif 0.5 peratus kepada 235.4 mata, dengan harga purata RM507,809 seunit,” menurut JPPH.

Pasaran harta tanah dijangka mengekalkan prestasi stabil seiring pertumbuhan kukuh ekonomi Malaysia.

“Keberkesanan inisiatif Kerajaan MADANI menyaksikan transaksi rumah mampu milik berharga RM300,000 dan ke bawah mendominasi subsektor kediaman dengan menguasai lebih 50 peratus daripada jumlah transaksi kediaman.

“Prospek positif ini akan terus kukuh, disokong pergerakan harga yang stabil, aktiviti pembinaan aktif dan pertumbuhan transaksi dalam subsektor terpilih,” menurut JPPH.

Bagaimanapun, prospek keseluruhan pasaran masih terdedah kepada perubahan ekonomi luaran dan kekangan kemampuan memiliki harta tanah.

“Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh dan pelaksanaan berterusan inisiatif strategik Kerajaan MADANI menjadi pemangkin kepada momentum pertumbuhan pasaran harta tanah yang stabil,” menurutnya.

JPPH akan terus memperkukuh pemantauan menyeluruh terhadap dinamik penawaran dan permintaan bagi memastikan pertumbuhan pasaran harta tanah negara lebih seimbang serta mampan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news