“Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Peribahasa Melayu ini semakin relevan dalam kehidupan masyarakat hari ini. Hanya kerana berbeza pandangan, manusia sanggup menghina, mencaci, memperlekehkan dan menjatuhkan maruah orang lain. Lebih membimbangkan, perbuatan tersebut dianggap biasa, malah seolah-olah ‘dihalalkan’ apabila mendapat sokongan ramai di media sosial. Persoalannya, sejak bilakah perbezaan pendirian menjadi lesen untuk mencerca sesama manusia? Apakah nilai sebuah kemenangan berhujah sekiranya akhirnya kita kehilangan akhlak dan merosakkan persaudaraan?
Realiti masyarakat Malaysia hari ini memperlihatkan perdebatan politik, isu agama, perbezaan pemikiran dan pertikaian sosial mudah bertukar menjadi serangan peribadi. Pada 19 Oktober lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak seharusnya menjadi alasan untuk melakukan buli siber, penghinaan atau ugutan. Peringatan ini wajar direnungkan kerana kebebasan bersuara bukanlah kebebasan menjatuhkan maruah manusia. Lidah yang tidak dikawal termasuk melalui tulisan di alam maya, boleh mencetuskan permusuhan yang berpanjangan.
Baca juga: Microsoft lapor kemajuan pulih perkhidmatan selepas gangguan global lebih 12 jam
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Janganlah sesuatu kaum memperolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diperolok-olokkan itu lebih baik daripada mereka.”
Ayat ini teguran langsung terhadap sikap manusia yang berasa dirinya lebih mulia daripada orang lain. Dalam tafsirnya, Imam Ibn Kathir menjelaskan larangan memperolok-olokkan manusia kerana perbuatan itu mengandungi unsur merendahkan dan menghina. Hakikatnya, kita mungkin mampu menilai perkataan seseorang, tetapi tidak mampu mengetahui sepenuhnya kedudukannya di sisi Allah.
Rasulullah SAW mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat al-Bukhari no 6018 dan Muslim no 47)
Hadis ini meletakkan penjagaan tutur kata sebagai sebahagian daripada tuntutan keimanan. Diam bukan bermaksud takut menyatakan kebenaran sebaliknya kebijaksanaan menahan diri daripada mengeluarkan perkataan yang membawa dosa. Tidak semua perkara yang terlintas dalam fikiran perlu diluahkan, apatah lagi jika tujuannya sekadar memalukan dan mengaibkan orang lain.
Islam tidak melarang perbezaan pandangan. Bahkan, tradisi keilmuan Islam memperlihatkan perbezaan ijtihad dalam kalangan ulama yang ditangani melalui hujah dan adab. Namun, terdapat perbezaan besar antara mengkritik sesuatu pandangan dengan menghina peribadi seseorang. Kritikan membincangkan kesalahan untuk mencari penyelesaian, sedangkan penghinaan menyerang maruah dan menjatuhkan air muka untuk memuaskan kemarahan. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 125 supaya manusia menyeru ke jalan Tuhan dengan hikmah, nasihat yang baik dan perbahasan menggunakan cara terbaik. Inilah asas komunikasi beradab yang sepatutnya diamalkan.
Lebih membimbangkan apabila sebahagian masyarakat begitu mudah menyebarkan tuduhan, tangkap layar dan rakaman yang belum dipastikan kesahihannya. Allah SWT berfirman dalam Surah al-Hujurat ayat 6 supaya orang beriman menyelidiki sesuatu berita agar tidak menimpakan keburukan terhadap pihak lain akibat kejahilan. Prinsip tabayyun ini amat penting dalam dunia digital yang membolehkan fitnah tersebar dalam beberapa saat. Jangan kerana mahu menjadi orang pertama berkongsi berita, kita akhirnya menjadi penyumbang kepada kezaliman terhadap insan yang tidak bersalah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang Muslim ialah orang yang kaum Muslimin selamat daripada gangguan lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari no 10)
Hadis ini mengingatkan bahawa akhlak seseorang tidak hanya diukur melalui ibadah khusus, tetapi turut dinilai berdasarkan keselamatan orang lain daripada gangguannya. Apalah ertinya seseorang rajin menghadiri majlis ilmu, membaca al-Quran dan memperlihatkan kesolehan, tetapi lidahnya sentiasa menyakiti keluarga, jiran, pemimpin masyarakat serta mereka yang berbeza pendirian?
Dalam institusi keluarga, ibu bapa perlu menjadi contoh terbaik dengan mengelakkan makian, sindiran dan penghinaan di hadapan anak. Anak yang membesar dalam persekitaran penuh cercaan berisiko menganggap kekasaran sebagai cara biasa menyelesaikan perselisihan. Sebaliknya, tutur kata yang lembut, teguran berhikmah dan kesediaan meminta maaf mampu membentuk generasi berakhlak. Allah SWT memerintahkan dalam Surah al-Isra ayat 53 supaya hamba-Nya mengucapkan perkataan yang lebih baik kerana syaitan sentiasa berusaha menimbulkan perselisihan sesama manusia.
Tanggungjawab yang sama turut dipikul oleh pemimpin, ahli politik, pendakwah dan tokoh masyarakat. Kedudukan serta pengaruh bukan alasan untuk memperlekehkan pihak yang tidak sependapat. Pemimpin yang matang mampu menerima teguran, menjawab kritikan menggunakan fakta dan menunjukkan ketegasan tanpa mengorbankan kesantunan. Pada masa yang sama, rakyat berhak menegur kesalahan dan menuntut pertanggungjawaban secara beradab. Negara tidak menjadi kuat sekiranya rakyatnya sentiasa diasuh membenci, menghina, menyeleweng hak rakyat dan mencurigai antara satu sama lain.
Renungkan juga peringatan Rasulullah SAW mengenai golongan muflis pada hari akhirat. Dalam hadis Riwayat Muslim no 2581, baginda menjelaskan bahawa terdapat manusia yang datang membawa pahala solat, puasa dan zakat, tetapi pernah mencaci, memfitnah serta menzalimi orang lain. Akibatnya, pahala kebaikannya diberikan kepada mereka yang dizalimi. Betapa besarnya kerugian apabila amalan yang dikumpulkan bertahun-tahun akhirnya terjejas kerana gagal menjaga hak sesama manusia. Jangan sampai kita menang debat di dunia, tetapi rugi ketika perhitungan akhirat.
Justeru, masyarakat perlu membudayakan tiga amalan penting iaitu berfikir sebelum berbicara, menyemak sebelum menyebarkan dan bermuhasabah sebelum menghukum. Apabila melakukan kesalahan, segeralah bertaubat, memohon maaf dan memperbaiki kerosakan yang ditimbulkan. Menjaga lidah bukan kelemahan sebaliknya lambang kematangan, kekuatan jiwa dan ketinggian akhlak. Keupayaan mengawal kemarahan juga membuka ruang perdamaian, memelihara hubungan kekeluargaan serta mengukuhkan kepercayaan dalam masyarakat.
Akhirnya, ingatlah bahawa setiap perkataan membawa tanggungjawab. Allah SWT berfirman dalam Surah Qaf ayat 18 yang bermaksud: “Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa bersedia.”
Jangan jadikan lidah sebagai senjata memusnahkan persaudaraan sebaliknya gunakanlah untuk menegakkan kebenaran, menyebarkan ilmu dan mendamaikan manusia. Kita boleh berbeza pendapat tanpa bermusuhan, menegur tanpa menghina dan mempertahankan prinsip tanpa menjatuhkan maruah. Kerana mulut, manusia boleh kehilangan segalanya; kerana tutur kata yang beradab, manusia mampu membina keluarga, masyarakat dan negara yang bermaruah.
Penulis pensyarah Bahasa Arab, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
© New Straits Times Press (M) Bhd