saufi@mediaprima.com.my
Baca juga: Pasaran harta tanah rekod RM60.31 bilion
Kuala Lumpur: Di sebalik populariti kandungan motivasi, penyembuhan emosi (healing), manifestasi dan pembangunan diri di media sosial, wujud kebimbangan terhadap penyebaran fahaman Gerakan New Age (NAM).
Ajaran itu didakwa boleh mempengaruhi pemikiran serta pegangan masyarakat tanpa disedari.
Fahaman yang menggabungkan pelbagai kepercayaan spiritual dan falsafah itu semakin mudah diketengahkan menerusi platform digital seperti TikTok, Facebook dan YouTube.
Ia khususnya melalui kandungan yang menyentuh ketenangan jiwa, tenaga dalaman dan potensi manusia.
Pada peringkat awal, video motivasi berkenaan sama seperti kaedah motivasi lain, namun apabila seseorang sudah mengikuti ‘kelas mendalam’, mereka akan didedahkan dengan pelbagai perkara dan doktrin bertentangan dengan Islam.
Carian wartawan menerusi platform media sosial turut menemui beberapa pengakuan daripada pengguna yang mendakwa pernah mengikuti ajaran terbabit.
Seorang pengguna media sosial yang mahu dikenali sebagai Ilyani Ariffin, 30, mendakwa pernah mengikut beberapa siri kelas ajaran itu yang menampilkan tentang motivasi, keyakinan diri dan mencari pencapaian diri sebenar.
Ilyani berkata, semuanya bermula menerusi beberapa siri video motivasi yang dilihat biasa dan meyakinkan.
“Ketika itu, saya diuji dengan perkembangan perniagaan yang tidak begitu baik, apabila lihat video motivasi itu, bangkit keyakinan diri.
“Namun, selepas beberapa ketika mengikuti kelas dalam talian, saya mula pelik apabila siri motivasi menyelitkan sesuatu yang agak bercanggah seperti manusia mempunyai ciri ketuhanan, nasib serta takdir boleh diubah dengan kekuatan spiritual dan sebagainya.
“Untuk itu, saya pernah mendapatkan pandangan pakar agama, tokoh berkenaan menyarankan saya menjauhi dan melaporkan kepada Jabatan Agama Islam Negeri,” katanya.
Sementara itu, satu kertas kajian pernah dibuat oleh pengkaji Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk ‘Doktrin Gerakan New Age dan praktik spiritual’ yang mengenal pasti media sosial sebagai antara saluran penyebaran fahaman berkenaan.
Antara istilah dan amalan yang dikaitkan dengan NAM termasuk Law of Attraction, numerologi, chakra, astrologi, meditasi serta kepercayaan terhadap tenaga alam semesta.
Kajian itu turut menjelaskan penggunaan kata kunci seperti aura warna, rahsia tarikh lahir, metafizik tarikh lahir dan rahsia tarikan yang boleh membawa pengguna kepada kandungan berkaitan fahaman berkenaan.
Semak program sebelum sertai
Orang ramai perlu menyemak latar belakang pembimbing bagi sebarang program motivasi, pembangunan diri, rawatan alternatif dan aktiviti kerohanian yang menawarkan ketenangan serta peningkatan potensi diri.
Ini kerana dibimbangi pembimbing berkenaan bukan seorang yang bertauliah dalam bidang tertentu dan membawa fahaman yang menyimpang daripada Islam.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, keinginan untuk mencari ketenangan, meningkatkan potensi diri dan memperbaiki kehidupan adalah sesuatu yang baik.
“Namun, bagi umat Islam, usaha berkenaan hendaklah berpandukan al-Quran dan al-Sunnah serta pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Orang ramai perlu menyemak latar belakang pengendali, kelayakan pembimbing dan kandungan program sebelum menyertainya.
“Sekiranya terdapat ajaran yang meragukan, orang ramai boleh merujuk kepada JAKIM, Jabatan Mufti Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk mendapatkan penjelasan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, penganjur dan penyampai program turut diingatkan agar bertanggungjawab memastikan kandungan yang dibawa tidak mencampuradukkan ajaran Islam dengan kepercayaan yang bercanggah dengan akidah dan syariat.
Menurutnya, Islam menyediakan jalan untuk membina ketenangan melalui solat, doa, zikir, penghayatan al-Quran dan penyucian jiwa, di samping ikhtiar serta bantuan profesional yang bersesuaian. Akidah ialah asas yang mesti dipelihara dalam setiap usaha memperbaiki kehidupan.
“Carilah ketenangan yang mendekatkan kita kepada Allah, dan kejayaan yang tetap memelihara iman,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd