LATEST

79 calon menanti mandat rakyat

79 calon menanti mandat rakyat

MELAKA – Selepas bahang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 berakhir pada Jumaat, kuasa memilih kini beralih kepada 675,166 pengundi biasa yang akan menentukan nasib 79 calon di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Sabtu.Dari pentas ceramah hingga ke pertemuan secara bersemuka, pelbagai strategi digerakkan oleh parti politik sepanjang 14 hari berkempen bagi meyakinkan rakyat bahawa mereka adalah pilihan terbaik untuk membawa suara dan aspirasi penduduk negeri bersejarah ini.Pada Jumaat, Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus pada PRN kali ini dengan keputusan penuh dijangka diketahui sebelum 12 tengah malam.SPR sebelum ini mewartakan 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran dibuka di seluruh negeri dari 8 pagi hingga 6 petang bagi membolehkan pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab masing-masing.Secara keseluruhan, sebanyak 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRN Melaka kali ini termasuk 12,531 anggota tentera dan pasangan serta polis yang telah menunaikan tanggungjawab menerusi pengundian awal pada Selasa.Pengundian awal itu yang melibatkan 31 pusat mengundi, merekodkan 9,417 atau 94.96 peratus daripada 9,917 pemilih keluar mengundi secara fizikal pada hari berkenaan manakala 2,614 lagi mengundi secara pos.Pakatan Harapan (PH) meletakkan calon paling ramai iaitu di 24 kerusi diikuti Barisan Nasional (BN) dengan 23 calon, Parti Bersama Malaysia (16), Bersatu (tujuh), Perikatan Nasional (lima), Parti Pribumi Perkasa Malaysia (satu) dan tiga calon Bebas.PRN itu diadakan susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September lepas setelah mendapat perkenan Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Ali Rustam.Pada PRN Melaka ke-15 yang berlangsung pada November 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN manakala PH (lima) dan PN (dua). – Bernama  

Latest news