LATEST

96,844 warga asing ditahan sejak 2024, terlibat pelbagai jenayah

96,844 warga asing ditahan sejak 2024, terlibat pelbagai jenayah

PETALING JAYA: Seramai 96,844 orang warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah bagi tempoh 2024 hingga September lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd. Khalid Ismail juga berkata, jumlah tangkapan warga asing meningkat sebanyak 3,604 kes atau 10.9 peratus kepada 36,740 tangkapan pada 2025 berbanding 33,136 tangkapan pada 2024.

Baca juga: Modul SPM YAPEIM buka peluang B40 ubah nasib keluarga

“Bagi tempoh Januari hingga September lalu pula, seramai 26,968 tangkapan warga asing direkodkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang bentuk pelanggaran undang-undang dan kegiatan jenayah membabitkan warga asing di negara ini.

Katanya, usaha penguatkuasaan turut diperkukuh menerusi kerjasama strategik dengan agensi kerajaan lain melalui operasi bersepadu, perkongsian risikan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Menurut beliau, PDRM sentiasa berpegang kepada prinsip kesamarataan di sisi undang-undang (Equality Before the Law), yang menetapkan setiap individu tanpa mengira status, kedudukan atau kewarganegaraan tertakluk kepada undang-undang negara.

“Sebarang perbuatan yang melanggar undang-undang tidak akan dikompromi dan akan ditangani menerusi tindakan penguatkuasaan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, PDRM menyeru masyarakat supaya terus memainkan peranan sebagai rakan strategik polis dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah kepada pihak berkuasa.

“Kerjasama dan keprihatinan masyarakat amat penting dalam membantu usaha pencegahan jenayah sekali gus memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di negara ini sentiasa terpelihara,”katanya. – UTUSAN

The post 96,844 warga asing ditahan sejak 2024, terlibat pelbagai jenayah appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news