zulfaizan@mediaprima.com.my
Baca juga: PRN berturut-turut bukan penghalang dasar ekonomi, pembangunan diteruskan
Kuala Lumpur: Tonggak pertahanan Harimau Malaya, Dion Cools memberi isyarat bahawa dia tidak menyesal memilih Malaysia sebagai negara yang diwakilinya di pentas bola sepak antarabangsa.
Pemain berusia 30 tahun itu berkata, Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam hidupnya kerana negara ini adalah tanah kelahirannya, sekali gus menjadikan keputusan menyarung jersi Harimau Malaya sebagai pilihan paling tepat.
Menjawab persoalan media berkenaan dakwaan bahawa dia mempunyai keturunan dari China dan boleh memilih untuk mewakili negara itu sebelum ini, Cools menganggap perkara berkenaan lebih sesuai dirujuk kepada keluarganya.
“Perkara itu (keturunan dari China) perlu ditanyakan kepada keluarga saya. Saya tidak fikir sesuai untuk memberikan jawapan lebih lanjut mengenai perkara itu.
“Saya sudah memilih Malaysia. Saya fikir Malaysia ialah negara asal saya dan tempat saya dilahirkan. Jadi, mewakili Malaysia di peringkat bola sepak antarabangsa adalah pilihan yang paling tepat bagi saya,” katanya.
Persoalan itu diajukan media China pada sidang media menjelang aksi persahabatan antarabangsa Harimau Malaya menentang skuad kebangsaan negara itu, semalam.
Ia susulan terdapat dakwaan di media sosial China bahawa Cools memiliki keturunan daripada negara itu dengan dia boleh memilih untuk mewakili skuad Naga sebelum membuat keputusan muktamad menyertai Harimau Malaya.
Cools yang dilahirkan di Kuching, Sarawak mempunyai darah kacukan Belgium-Malaysia apabila bapanya berasal dari Belgium, manakala ibunya berketurunan Cina dari Malaysia.
Cools ketika ini menjadi tonggak penting Harimau Malaya khususnya bagi bahagian benteng dan dia juga berperanan sebagai kapten skuad negara.
Mengulas sasaran peribadinya bersama skuad kebangsaan, Cools berkata meskipun sudah mencapai banyak perkara sepanjang karier profesional, beliau masih menyimpan hasrat untuk memberikan yang terbaik kepada negara.
“Sudah tentu, saya kini berusia 30 tahun. Bukan bermaksud saya sudah tua, tetapi saya boleh katakan bahawa saya sudah mencapai banyak perkara yang ingin dicapai sepanjang karier.
“Secara peribadi, bersama pasukan kebangsaan, saya mahu mencapai kejayaan terbaik, beraksi dalam perlawanan yang baik dan memastikan saya dapat membanggakan Malaysia.
“Saya gembira dengan kehidupan saya ketika ini dan berharap dapat terus membanggakan keluarga, khususnya negara, menerusi apa yang saya lakukan sama ada di dalam mahupun di luar padang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd