LATEST
National

PRN berturut-turut bukan penghalang dasar ekonomi, pembangunan diteruskan

PRN berturut-turut bukan penghalang dasar ekonomi, pembangunan diteruskan

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) secara berturut-turut tidak seharusnya menjejaskan dasar ekonomi dan kesinambungan pelaksanaan projek pembangunan.

Baca juga: Antonelli sebak, 70,000 penyokong laung namanya

Pengarah Pakar Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi Negara IPP Wealth Managers Ltd, Mohd Sedek Jantan, berkata kekerapan pilihan raya bukan faktor utama yang menentukan prestasi ekonomi negeri atau kecekapan pentadbiran, sebaliknya keupayaan kerajaan memastikan disiplin fiskal, kecekapan pengagihan sumber serta konsistensi dasar pembangunan.

Beliau berkata, fungsi pentadbiran kerajaan negeri yang digerakkan jentera perkhidmatan awam mempunyai struktur, prosedur dan tanggungjawab tersendiri, berbeza daripada proses politik yang menentukan hala tuju serta keutamaan dasar.

“Justeru, tempoh pilihan raya yang relatif singkat tidak seharusnya mengganggu kelangsungan operasi pentadbiran mahupun pelaksanaan projek pembangunan yang sudah diluluskan, selagi proses perancangan, perolehan dan penyaluran peruntukan berjalan mengikut kerangka institusi ditetapkan,” katanya kepada BH.

Bagaimanapun, Mohd Sedek mengingatkan, risiko ketidakcekapan boleh berlaku apabila pertimbangan politik jangka pendek mempengaruhi keutamaan perbelanjaan kerajaan, termasuk kecenderungan mempercepatkan projek yang memberikan manfaat segera kepada pengundi berbanding pelaburan strategik jangka panjang.

Dalam keadaan sumber fiskal terhad, katanya, setiap peruntukan yang disalurkan kepada sesuatu program turut membabitkan kos melepas, iaitu manfaat ekonomi yang terpaksa diketepikan daripada penggunaan alternatif.

“Oleh itu, keberkesanan perbelanjaan awam perlu dinilai berdasarkan pulangan ekonomi dan sosial, bukannya semata-mata pertimbangan politik,” katanya.

Mohd Sedek berkata, perubahan kepimpinan negeri juga berpotensi menyebabkan penilaian semula projek atau perubahan keutamaan pembangunan, dengan kesannya terhadap ekonomi bergantung kepada sejauh mana keadaan itu mempengaruhi kepastian dasar, kelancaran pelaksanaan projek dan keyakinan pelabur.

Beliau berkata, kesan PRN terhadap kecekapan pentadbiran Kerajaan Persekutuan pula dijangka relatif terhad berikutan pembahagian bidang kuasa yang jelas antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri, termasuk dari segi tanggungjawab pentadbiran, penggubalan dasar dan pelaksanaan program pembangunan.

“Dari sudut pengurusan fiskal, risiko gangguan juga terkawal khususnya bagi projek pembangunan yang sudah diluluskan dan diperuntukkan dalam Belanjawan Persekutuan. Bagaimanapun, kelewatan penyelarasan pentadbiran, proses kelulusan atau pelaksanaan projek yang memerlukan kerjasama kedua-dua peringkat kerajaan masih boleh berlaku,” katanya.

Menurutnya lagi, kelewatan projek pembangunan boleh meningkatkan kos pelaksanaan, menangguhkan kesan pengganda perbelanjaan kerajaan dan melambatkan manfaat ekonomi yang sepatutnya dinikmati masyarakat serta sektor swasta.

Mengulas kesan terhadap pelaburan domestik dan asing, Mohd Sedek berkata, keseimbangan politik sememangnya antara faktor yang mempengaruhi keputusan pelaburan, namun bukan satu-satunya penentu kerana pelabur turut menilai prospek pertumbuhan ekonomi, kadar pulangan, kos menjalankan perniagaan, ketersediaan tenaga kerja dan kemudahan infrastruktur.

Katanya, perkara lebih penting ialah konsistensi dan kebolehramalan dasar atau policy predictability, memandangkan pelaburan dalam sektor tenaga, infrastruktur, teknologi dan pembuatan memerlukan komitmen modal besar serta tempoh pulangan yang panjang.

“Perubahan dasar secara mendadak boleh mengubah unjuran aliran tunai, meningkatkan risiko pelaburan dan mempengaruhi kos pembiayaan.

“Dalam keadaan ketidaktentuan politik, pelabur juga berkemungkinan mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum membuat keputusan akhir, khususnya bagi projek yang memerlukan komitmen modal besar dan sukar dibatalkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelaksanaan PRN perlu dilihat dalam kerangka lebih luas kerana pilihan raya merupakan sebahagian daripada amalan demokrasi yang memberikan ruang kepada rakyat memilih wakil untuk mentadbir negara atau negeri.

Beliau berkata, pilihan raya juga menjadi platform untuk rakyat menilai prestasi ahli politik dalam penggubalan dasar dan pentadbiran kerajaan sepanjang tempoh mandat yang diberikan menerusi kemenangan di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Justeru, ahli politik sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya perlu terus melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan hala tuju pembangunan negara menerusi penggubalan undang-undang dan pelaksanaan dasar yang mampu membawa kesejahteraan kepada rakyat, golongan peniaga serta pelabur,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news