KUALA LUMPUR: “Takkan Melayu hilang di dunia”, ungkapan keramat itu seakan menemukan makna tersendiri di Guangzhou, China, apabila bahasa Melayu terus hidup dan dituturkan jauh dari tanah air.
Baca juga: PRN berturut-turut bukan penghalang dasar ekonomi, pembangunan diteruskan
Di sebalik dominasi bahasa Mandarin, bahasa Melayu turut mempunyai ruang tersendiri di bandar perdagangan itu apabila ia digunakan dalam interaksi dan kehidupan seharian terutamanya peniaga di bandar raya itu.
Daripada pasar kain yang menjadi tumpuan peniaga hingga ke restoran yang menyajikan hidangan bercita rasa Melayu, bahasa kebangsaan itu menjadi antara penghubung masyarakat tempatan dengan pembeli.
View on Threads
Menerusi penerokaan ‘peta Bahasa Melayu’ di Guangzhou, seorang wartawan di China dikenali sebagai Husna, berkongsi pengalamannya mengikuti Pensyarah Universiti Pengajian Asing Guangdong, Zaiton dan pelajarnya, Falisha, menyusuri lokasi memperlihatkan kehadiran serta penggunaan bahasa berkenaan.
Menariknya, bahasa Melayu bukan hanya menjadi subjek pembelajaran, sebaliknya membuka ruang interaksi merentasi perbezaan bangsa, budaya dan negara.
Husna dalam perkongsian video berkenaan menunjukkan peniaga di sana dilihat fasih berbahasa Melayu sambil menjual kain sutera.
Penjual yang juga pemilik kedai Ali Silk, Tang Jiali, berkata minat untuk mendalami bahasa berkenaan mula timbul disebabkan mempunyai ramai rakan Melayu.
“Dulu ada ramai kawan Melayu, ia bermula dengan mengajar mengira satu hingga 10. Kemudian saya belajar sendiri dengan membeli buku.
“Kalau kita lihat, ramai rakyat China tidak mengetahui bahasa Inggeris, apa lagi jika bahasa Melayu.
“Jadi saya fikir, kalau tahu cakap Melayu, ia lebih senang untuk saya berkomunikasi dan perniagaan menjadi lebih baik,” katanya dalam perkongsian di Threads.
Ali berkata, beliau memang suka menimba ilmu kerana ia akan berguna pada masa akan datang.
Selain peniaga kain, Husna turut menunjukkan restoran meletakkan papan tanda restoran dalam bahasa Melayu ‘Citatarasa Melayu No 1 di Guangzhou’.
Menurut pemilik restoran itu yang tidak dinamakan, beliau mengambil inisiatif sendiri untuk belajar pelbagai bahasa termasuk Melayu, Urdu, Arab, Inggeris dan Parsi, Jepun dan Russia.
“Saya namakan cita rasa Melayu sebab ramai pelanggan saya dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, sekali gus menarik minat mereka datang ke restoran ini,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd