LATEST

Penuntut universiti di China pilih kerjaya tukang ladam kuda lumba, pendapatan lumayan

Penuntut universiti di China pilih kerjaya tukang ladam kuda lumba, pendapatan lumayan

Beijing: Seorang penuntut tahun empat di Universiti Perniagaan Wuhan, Fu Donghua mencuri perhatian warga maya di China apabila memilih kerjaya luar biasa sebagai tukang ladam kuda lumba, bidang yang menawarkan pendapatan lumayan.

Baca juga: PRN Melaka: 31 peratus keluar mengundi setakat 11.30 pagi

Memetik laporan South China Morning Post, Fu, penuntut Sekolah Ekuestrian universiti berkenaan memperoleh sijil tukang ladam kuda peringkat rendah pada April lalu dan menjadi satu-satunya penuntut universiti dalam kalangan 70 tukang ladam bertauliah di negara itu, menurut Persatuan Industri Kuda China.

Lebih menarik, guru Fu, Li Jixin, yakin anak didiknya itu mampu memperoleh pendapatan melebihi 10,000 yuan (kira-kira RM6,100) sebulan selepas menamatkan pengajian, lapor Jimu News.

Sebagai tukang ladam, Fu bertanggungjawab memotong dan merawat kuku kuda selain memasang serta melaraskan kedudukan ladam bagi memastikan haiwan itu kekal sihat dan dapat meneruskan pembabitan dalam sukan untuk tempoh lebih lama.

“Memasang ladam pada kuda ibarat memakaikan kasut larian yang berfungsi memberikan kusyen,” katanya sambil menjelaskan setiap ladam mampu bertahan kira-kira 40 hari.

Bagaimanapun, pekerjaan itu bukan mudah kerana tukang ladam perlu mengepit kuku kuda di antara kedua-dua belah kaki, membongkok selama berjam-jam dan kerap menukar peralatan ketika menjalankan tugas.

Keadaan itu menyebabkan ramai tukang ladam sukar meluruskan badan selepas selesai bekerja.

Fu sendiri mengakui tugas berkenaan amat mencabar, namun dia tetap bertekad meneruskan kerjaya pilihannya.

Pada peringkat awal latihan, dia diarahkan mengupas kulit kayu selama setengah bulan bagi membina kekuatan fizikal serta meningkatkan kawalan arah dan sudut sebelum mempelajari teknik mengendalikan kuku kuda.

Sebelum menjalankan rawatan, tukang ladam juga perlu membina keserasian dengan haiwan berkenaan bagi mengelak kuda berasa gelisah seperti menepuk leher serta menyentuh muka, hidung dan rahangnya supaya haiwan itu bertenang selain memegang kaki kuda secara berulang bagi membiasakannya dengan sentuhan.

Sepanjang menjalani latihan, Fu turut berdepan beberapa kecederaan.

Pada bulan pertama, sebatang paku tercucuk pada tapak tangannya sehingga menampakkan tulang dan mengambil masa dua minggu untuk pulih selain pernah terlantar selama dua minggu selepas kaki kirinya dipijak seekor kuda.

Fu kini berharap dapat memperoleh sijil tukang ladam kuda peringkat kanan dan berazam terus menimba pengalaman daripada gurunya yang sudah tiga dekad berkecimpung dalam industri itu tetapi masih menganggap dirinya perlu terus belajar.

Menurut Li, bayaran sekurang-kurangnya 500 yuan (kira-kira RM300) dikenakan bagi memasang satu ladam kuda.

Seorang tukang ladam kanan di Chengdu, wilayah Sichuan, Wang Qingbo dilaporkan mampu memperoleh antara 40,000 hingga 50,000 yuan (kira-kira RM24,500 hingga RM30,600) sebulan.

Dua penuntut universiti juga dilaporkan baru-baru ini meninggalkan bidang pengajian asal masing-masing untuk mempelajari kemahiran itu daripada Wang.

Bagaimanapun, Wang berkata, pekerjaan berkenaan sebenarnya amat memenatkan dan bukan semua orang mampu menanggung kesukaran tugas itu manakala warga maya menyifatkannya ia kerjaya yang lumayan namun berisiko kerana sepakan kuda boleh mengakibatkan kecederaan serius termasuk patah tulang atau lumpuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news