LATEST

Masih berpantang, Nurul Atikah tetap keluar mengundi

Masih berpantang, Nurul Atikah tetap keluar mengundi

MELAKA: Walaupun masih dalam tempoh berpantang selepas melahirkan anak pertama yang kini baharu berusia 36 hari, seorang wanita menggagahkan diri keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini.

Nurul Atikah Mohd. Kamal, 30, hadir ke pusat pengundian di Sekolah Menengah Agama JAIM Al-Ahmadi, Paya Rumput Jaya di sini untuk membuang undi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang.

Baca juga: Gurauan sewa basikal jadi lubuk rezeki

Kehadirannya ke pusat pengundian itu ditemani suami, Muhammad Mursyid Hasni, 30.

Nurul Atikah berkata, biarpun masih berpantang selepas melahirkan cahaya mata sulung pada 9 Oktober lalu, ia bukan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai rakyat.

Dia yang bertugas di kaunter Farmasi Hospital Pakar Putra mahu menggunakan peluang yang ada untuk memilih wakil rakyat yang diyakini mampu membawa perubahan bagi penduduk Sungai Udang.

“Hajat saya hanya satu hendak melihat perubahan di Sungai Udang dan sebab itu saya rasa penting untuk keluar menunaikan tanggungjawab walaupun keadaan saya masih lemah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Nurul Atikah dari Kampung Paya Rumput Jaya berkata, ini merupakan kali keempat dia mengundi manakala DUN Sungai Udang adalah kali pertama.

Sementara itu, Muhammad Mursyid berkata, dia menyokong isterinya kerana memahami keinginan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Hati dia cekal dan berkali-kali cakap dengan saya dia hendak pergi mengundi dan meminta saya menghantarnya. Saya akur dan pagi lagi dia sudah bersiap,” katanya. – UTUSAN

The post Masih berpantang, Nurul Atikah tetap keluar mengundi appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news