LATEST

Amir Masdi tambah satu lagi slot AM:PM Showcase

Amir Masdi tambah satu lagi slot AM:PM Showcase

Kuala Lumpur : Sambutan menggalakkan terhadap showcase penyanyi, Amir Masdi, menerusi AM:PM mendorong penganjur menambah satu lagi slot persembahan di Zepp Kuala Lumpur pada 19 Disember ini.

Baca juga: PRN Melaka: PH harap peratusan mengundi kekal tinggi – Adly

Penambahan tarikh sehari lebih awal itu sekali gus memberi peluang kepada peminat yang terlepas mendapatkan tiket persembahan pada 20 Disember untuk menyaksikan aksi penyanyi berkenaan.

Pengarah Projek Ultimate Media, Ekmal Md Nor, berkata keputusan itu dibuat bagi memenuhi permintaan tinggi peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket bagi persembahan malam pertama.

“Disebabkan permintaan tinggi dan demi tidak mengecewakan peminat tegar Amir, kami mengambil keputusan untuk menambah satu lagi hari.

“Tiket untuk persembahan tambahan mula dijual malam ini, Sabtu, 14 November, jam 9.30 malam. Jadi, peminat Amir jangan terlepas peluang mendapatkannya.

“Showcase eksklusif itu berlangsung selama dua jam dengan kira-kira 22 lagu popular Amir bakal dipersembahkan,” katanya.

Sementara itu, Amir yang popular menerusi lagu Nur Cinta, berkata idea menghasilkan AM:PM Showcase tercetus daripada keinginannya untuk meraikan perjalanan seni bersama peminat yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri muzik.

“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri dan setiap peminat juga mempunyai cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu itu.

“Sebab itu, saya mahu AM:PM Showcase menjadi sebuah malam yang cukup istimewa. Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan,” katanya.

Menurut Amir, pihaknya kini giat membuat persiapan dengan menyusun pelbagai elemen baharu bagi memastikan pengalaman yang ditawarkan menerusi showcase itu berbeza daripada persembahan yang pernah dijayakannya sebelum ini.

Amir yang juga finalis Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) menyifatkan showcase berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang terus mempercayai dan menyokong perjalanan muziknya selama ini.

Tiket AM:PM Showcase boleh dibeli menerusi platform Ilasso Tickets.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news