MANILA: Malaysia menggesa tindakan ASEAN yang lebih proaktif dan bersepadu dalam menangani jerebu rentas sempadan, dengan mengemukakan cadangan kerjasama saintifik dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh kesiapsiagaan rantau ini.
Baca juga: Bahasa Melayu mekar di Guangzhou
Menteri Luar , Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata kemerosotan kualiti udara termasuk tahap tidak sihat dan berbahaya di beberapa kawasan menimbulkan risiko serius kepada kesihatan awam, mata pencarian dan aktiviti harian, terutamanya kepada kumpulan rentan.
“Melangkah ke hadapan, ASEAN mesti melaksanakan tindak balas serantau yang lebih proaktif dan bersepadu berteraskan pelaksanaan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan yang berkesan.
“Bagi melengkapkan usaha ini, Malaysia telah mengemukakan cadangan mengenai Diplomasi Sains dan Dana Jerebu Mampan bagi memperkukuh kerjasama saintifik, pembiayaan mampan serta tindak balas kolektif terhadap pencemaran jerebu rentas sempadan,” katanya pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), di sini hari ini.
Mohamad turut menggesa ratifikasi Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan kerana pengoperasiannya dengan segera penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan dan keupayaan tindak balas rantau ini.
Beliau juga merakamkan penghargaan atas usaha berterusan Indonesia untuk memadamkan kebakaran tanah dan hutan di Kalimantan serta Sumatera yang menyebabkan jerebu rentas sempadan yang teruk di beberapa bahagian rantau ini.
Beliau mengakui kesukaran yang dialami dalam usaha itu disebabkan fenomena El Nino, cuaca tidak menentu dan kedudukan kawasan terjejas yang terpencil.
“Malaysia akan meneruskan cadangannya pada Persidangan Pihak-Pihak Terhadap Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada Disember serta menerusi kepengerusian Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri Subrantau mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan pada 2027,” katanya.
Mengenai kerjasama serantau yang lebih luas, Mohamad berkata, ASEAN perlu memperkukuh konsensus dan memelihara kedudukannya di tengah perpecahan geopolitik dan ekonomi yang meningkat termasuk ancaman keselamatan rentas sempadan yang semakin kompleks.
“Secara bersatu, ASEAN mesti terus membina dan mempertahankan struktur serantau berteraskan peraturan di rantau ini serta kekal sebagai suara yang rasional,” katanya.
Selain itu, Mohamad menegaskan mempelbagaikan rantaian bekalan, memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan memperkuat rangkaian pengeluaran serantau kekal penting bagi daya tahan blok terbabit.
Beliau berkata, Malaysia menyambut baik pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan menantikan pelaksanaannya sebagai pemangkin kepada kesalinghubungan digital, memperluas perdagangan dan daya saing serantau.
Mengenai hubungan ASEAN-China, beliau berkata, sidang kemuncak yang akan berlangsung dijangka mengguna pakai kenyataan bersama bagi menandai ulang tahun ke-5 Perkongsian Strategik Komprehensif dan mewujudkan perkongsian kerjasama tenaga selain mengambil maklum cadangan China untuk menetapkan 2027 sebagai Tahun Kerjasama Kecerdasan Buatan (AI) ASEAN-China.
Beralih kepada hubungan ASEAN-Turkiye, Mohamad menggesa agar Pelan Tindakan yang komprehensif dan berpandangan jauh dapat dimuktamadkan pada waktunya.
“Kita mesti memastikan Pelan Tindakan baharu ini memberikan hasil nyata dalam bidang kepentingan bersama seperti kemudahan perdagangan, ketahanan rantai bekalan dan kerjasama industri pertahanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd