Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama 10 bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) didakwa menarik balik surat berkaitan pelucutan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Perkara itu terkandung dalam sepucuk surat bertarikh 10 November 2026 yang tersebar, dipercayai ditandatangani Ismail bersama 10 bekas Exco berkenaan dan ditujukan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.
Baca juga: Malaysia kekal hubungan baik dengan AS, China demi kelangsungan ekonomi – PM
Menerusi surat tersebut, Ismail memaklumkan keputusan menarik balik kandungan surat asal bertarikh 17 September 2026 itu dibuat secara sebulat suara selepas mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu pada 14 Oktober lalu serta perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026.
“Saya bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) telah sebulat suara memutuskan untuk menarik balik kandungan surat bertarikh 17 September 2026 tersebut dengan mengambil kira Kenyataan Media Kebawah DYMM Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober 2026 serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun 2026 yang mengekalkan status quo kedudukan DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir.
“Keputusan ini dibuat demi menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) dan memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan kelangsungan pentadbiran negeri berjalan dalam suasana aman dan teratur,” menurut kandungan surat itu.

Ismail bersama 10 bekas Exco berkenaan turut menegaskan komitmen untuk terus menjunjung adat serta menghormati kedudukan dan kewibawaan institusi diraja dalam sistem pemerintahan Negeri Sembilan.
Mereka juga mengambil maklum seruan Raja-Raja Melayu supaya segala perbezaan diselesaikan melalui saluran yang sah, berautoriti dan berwibawa secara beradab serta beradat.
“Kami berpandangan bahawa usaha ke arah penyelesaian hendaklah dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, demi mengekalkan keharmonian dan kestabilan Negeri Sembilan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat,” menurut surat berkenaan.
Surat dua halaman itu turut memohon jasa baik Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja untuk mempersembahkan keputusan kolektif tersebut kepada Raja-Raja Melayu.
Terdahulu, kemelut institusi diraja Negeri Sembilan tercetus susulan proklamasi yang didakwa melucutkan takhta Tuanku Muhriz, sebelum pendirian menyokong tindakan berkenaan dinyatakan oleh barisan Exco dan Menteri Besar pada September lalu.
Bagaimanapun, pelucutan takhta itu dipertikaikan oleh Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan serta Jabatan Peguam Negara.
Susulan perkembangan tersebut, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 Exco berkuat kuasa 20 September lalu selepas mereka didapati memungkiri sumpah jawatan dan ikrar taat setia kepada institusi diraja.
Pembatalan pelantikan itu kemudiannya diwartakan pada 24 September 2026 mengikut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Sepuluh bekas Exco terbabit ialah Datuk Mohd Faizal Ramli, Datuk Zaifulbahri Idris, Datuk Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Datuk Mohd Asna Amin, Datuk Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Datuk Razali Abu Samah.
Setakat ini, kesahihan surat penarikan balik bertarikh 10 November berkenaan masih belum mendapat pengesahan rasmi daripada Ismail.