puterialia@hmetro.com.my
Baca juga: Tahanan rumah: KDN hanya pelaksana, bukan buat keputusan
Kuala Lumpur: Kumpulan sensasi global, NCT 127, secara rasmi mengumumkan konsert berskala besar pertama mereka di negara ini menerusi siri jelajah dunia, NCT 127 5th Tour ‘Neo City: Kuala Lumpur – The Redline.’
Persembahan kumpulan ikonik ini dijadualkan berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 9 Januari depan sempena sambutan sedekad pembabitan mereka dalam industri muzik.
Konsert berkenaan turut membawakan album studio ketujuh mereka berjudul ‘BLINGY’.
Siri jelajah ini bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya perayaan ulang tahun ke-10 yang meraikan kejayaan mereka memecahkan sempadan muzik, mentakrif semula rentak moden serta membina ikatan utuh bersama peminat setia mereka, NCTzen.
Jelajah ini menyusul sejurus selepas pelancaran album studio penuh ketujuh mereka, BLINGY, yang mempamerkan identiti muzik tersendiri serta kematangan seni kumpulan itu.
Sebelum tiba di Malaysia, NCT 127 telah memulakan langkah menerusi aksi pembukaan bertenaga selama tiga malam berturut-turut pada September lalu di KSPO Dome, Seoul, Korea Selatan, yang dihadiri lebih 30,000 peminat.
Siaran langsung pawagam sedunia bagi The Redline KSPO Dome pada 20 September lalu turut memberi peluang kepada peminat antarabangsa merasai kehangatan awal konsert ini, sekali gus mencetuskan fenomena global luar biasa.
Kuala Lumpur kini secara rasmi menjadi salah satu lokasi jelajah Asia NCT 127, selain Korea, Indonesia, Hong Kong, Singapura, Thailand, Filipina dan Macau.
Ditubuhkan pada Julai 2016, NCT 127 menjelma sebagai salah satu kuasa paling berpengaruh, inovatif dan bertahan lama dalam industri muzik global.
Sepanjang sedekad lalu, kumpulan ini menghasilkan pelbagai lagu hit kegemaran peminat daripada Cherry Bomb, Simon Says, Kick It, 2 Baddies, Fact Check dan Walk.
Jualan tiket awam akan dibuka bermula 20 November ini pada jam 12 tengah hari di laman web bookmyshow.
© New Straits Times Press (M) Bhd