LATEST

PDRM titip pesan! Ingatkan penyokong parti tak buat kecoh rai kemenangan

PDRM titip pesan! Ingatkan penyokong parti tak buat kecoh rai kemenangan

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan semua penyokong parti politik supaya meraikan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 secara terkawal dan tidak melakukan aksi berbahaya di jalan raya.

Nasihatkan jentera parti berpada-pada rai kemenangan

Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar menasihatkan jentera parti supaya meraikan kemenangan secara statik di lokasi tertentu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta ketidakselesaan pengguna jalan raya lain.

Baca juga: Malaysia gesa ASEAN perkukuh tindak balas terhadap jerebu, wujud dana mampan

Menurutnya, pihak polis memahami kemeriahan pilihan raya yang berlangsung setiap lima tahun, namun konvoi di jalan raya dikhuatiri boleh mengundang masalah keselamatan dan ketenteraman awam.

“Kita faham pilihan raya ini lima tahun sekali, jadi kemeriahannya agak besar. Namun, kalau boleh biarlah ia disambut secara statik dan tidak berpelesiran di jalan raya kerana ini akan menimbulkan kesukaran serta ketidakselesaan orang lain.
“Kita tahu di Melaka ini setiap hari berdepan dengan kesesakan trafik, tambahan pula jika ada yang meraikannya di atas jalan raya, ia akan memburukkan lagi keadaan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, hari ini.

Foto: Bernama

Tak mahu golongan mat rempit sengaja ikut serta

Mengulas lanjut hal tersebut, Dzulkhairi turut bimbang sekiranya kumpulan motosikal dari luar mengambil kesempatan menyertai konvoi penyokong parti sehingga mencetuskan kekecohan.

“Kita tahu penyokong yang mengikut parti-parti ini mungkin agak terkawal. Namun, kita tidak mahu golongan ‘mat rempit’ dari luar yang datang untuk sengaja ikut serta, yang mana kita sendiri tidak tahu mereka dari mana.
“Golongan-golongan inilah yang akan menimbulkan kekecohan dan saya tidak mahu perkara itu terjadi,” tegasnya.

Foto: Bernama

Sehubungan itu, pihak polis meminta kerjasama semua parti politik supaya menasihatkan penyokong masing-masing mematuhi undang-undang dan mengelakkan konvoi di jalan raya selepas keputusan PRN diumumkan.

Dalam perkembangan sama, kawalan keselamatan akan dipertingkatkan malam ini dengan penempatan anggota polis termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di beberapa lokasi tumpuan utama.

Antara kawasan yang akan dipantau rapi ialah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Seri Negeri, Seri Bendahara dan kawasan sekitar Istana Melaka.

Sumber: Malaysia Gazette (Rosnani Nasir)

Latest news