GEORGE TOWN: Ketidakpuasan hati terhadap cara pemanduan seorang lelaki menjadi punca seorang lagi lelaki cedera ditoreh menggunakan pisau dalam kejadian di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu Lancang, di sini, baru-baru ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.07 petang itu, mangsa berusia 54 tahun mengalami kecederaan berupa luka torehan pada bahagian lengan kanan dan perut akibat terkena pisau yang digunakan suspek.
Baca juga: Tahanan rumah: KDN tiada kuasa tentukan petisyen pengampunan
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komissioner Abdul Rozak Muhamad berkata, suspek merupakan lelaki tempatan berusia 30 tahun yang bertindak mencederakan mangsa dipercayai akibat tidak berpuas hati dengan cara pemanduan lelaki berkenaan.
Menurutnya, kejadian itu kembali mendapat perhatian selepas satu rakaman video mengenainya tular di media sosial hari ini.
”Hasil semakan mendapati kejadian tersebut berlaku pada 4 November lalu, kira-kira pukul 2.07 petang di atas jalan raya di hadapan Sekolah Kebangsaan Batu Lancang, Batu Lancang,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular di media sosial kejadian mendatangkan cedera menggunakan pisau di atas jalan raya di Batu Lancang di sini yang telah mendapat perhatian masyarakat umum.
Abdul Rozak berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera menggunakan senjata atau benda berbahaya.
”Suspek telah ditangkap sebelum dituduh di mahkamah pada Rabu lalu. Tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan dijatuhi hukuman penjara selama lapan bulan oleh mahkamah,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan rakaman video berkenaan atau membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN
The post Tidak puas hati cara pemanduan punca lelaki cedera ditoreh pisau appeared first on Utusan Malaysia.