am@hmetro.com.my
Baca juga: Anugerah graduan pilihan MNC iktiraf UniMAP lahir tenaga mahir negara
Kuala Lumpur: Peniaga kedai makan berdepan kejadian tidak diduga apabila ular tedung muncul di dapur kedai yang dinaiki air.
Menceritakan detik cemas itu, Muhammad Shazlly Sulaiman, 34, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan pekerja sedang menguruskan dapur yang ditenggelami air sebelum reptilia berbisa itu muncul.
Peniaga di Jalan Balai Raya, Kampung Bukit Hijau, Jeram, itu berkata, dia sememangnya bimbang sekiranya haiwan berbisa lain seperti lipan masuk ke kedai makannya, bagaimanapun terpaksa mengambil risiko dan menguruskan kedai seperti biasa.
“Saya tak pernah terbayang ular tedung akan masuk disebabkan banjir termenung sejak berniaga di sini hampir setahun.
“Kawasan sini majoritinya kedai makan, apabila banjir melanda ia secara tidak langsung menjejaskan perniagaan.
“Pengunjung terpaksa berpatah balik kerana tidak mahu meredah air yang bertakung. Lebih merunsingkan apabila setiap hari cuaca berubah dan kami risau apabila hujan berterusan, banjir akan lambat surut,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Muhammad Shazlly tidak menafikan keadaan sistem saliran berhampiran kedainya tidak diselenggara dengan baik, dan sudah membuat aduan kepada pihak berwajib.
Dia berkata, ia bukan kali pertama kawasan itu dilanda banjir termenung, malah sejak 2021 lagi dan sudah membuat aduan bersama rakan lain, namun belum ada tindakan diambil.
Katanya, dia berharap parit di hadapan kedai segera dibersihkan atau didalamkan supaya pelanggan boleh datang tanpa perlu meredah air banjir.
Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, 40, memohon pihak berwajib segera menyelesaikan isu banjir termenung itu.
Katanya, dia yang menetap di kampung itu lebih 10 tahun lalu, menyaksikan air lambat surut sehingga menimbulkan bau tidak menyenangkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd