LATEST

Ahmad Samsuri hargai sokongan pengundi pada PRN Melaka

Ahmad Samsuri hargai sokongan pengundi pada PRN Melaka

am@hmetro.com.my

Baca juga: PH rakam penghargaan kepada pengundi, rakyat Melaka

Kuala Terengganu: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Melaka, khususnya pengundi yang menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, hari ini.

Menteri Besar Terengganu itu berkata, penghargaan turut diberikan kepada seluruh jentera Barisan Nasional (BN) dan PN, calon yang bertanding, petugas serta sukarelawan yang bekerja keras sepanjang perjalanan pilihan raya berkenaan.

Beliau berkata, setiap usaha, sokongan dan pengorbanan yang dicurahkan semua pihak amat besar nilainya dalam memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik.

“Kesepakatan dan semangat muafakat yang telah dibina antara BN dan PN juga adalah satu pengalaman penting dalam perjalanan politik negara,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook miliknya, malam ini.

Ahmad Samsuri turut mengucapkan terima kasih kepada pihak berkuasa, petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan semua pihak yang memastikan proses pengundian berlangsung lancar, aman serta teratur.

Beliau berkata, perjuangan politik yang dibawa bukan sekadar untuk memenangi sesebuah pilihan raya, sebaliknya lebih besar daripada itu.

“Kepada seluruh jentera dan pendukung sekalian, perjuangan ini lebih besar daripada sebuah pilihan raya.

“Amanah, prinsip dan kepentingan rakyat akan terus menjadi landasan perjuangan kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news