LATEST

Perodua Fest 2026 satukan peminat, pemilik kereta tempatan

Perodua Fest 2026 satukan peminat, pemilik kereta tempatan

lizamridzuan@hmetro.com.my

Baca juga: 29 sekolah di Pulau Pinang dinaik taraf kemudahan menjelang kemasukan Tahun Satu 2027

Perhimpunan peminat dan pemilik kenderaan Perodua menerusi Perodua Fest 2026 menjadi platform menghimpunkan komuniti automotif dari seluruh negara dalam satu acara yang mengetengahkan kreativiti, pengubahsuaian kenderaan dan aktiviti permotoran.

Penganjuran acara itu bukan sekadar memberi ruang kepada pemilik mempamerkan kenderaan masing-masing, malah membuka peluang kepada komuniti berkongsi minat, pengalaman serta bertukar pandangan berkaitan dunia automotif.

Penganjur Perodua Fest 2026, Shahrim Azrul yang lebih dikenali sebagai Uncle Shah di media sosial berkata, acara itu dianjurkan bagi menyatukan peminat dan pemilik kenderaan Perodua dari seluruh Malaysia.

“Objektif kami menganjurkan Perodua Fest untuk menghimpunkan peminat dan pemilik Perodua daripada model terawal sehingga terkini supaya mereka dapat berkumpul, berkongsi minat serta bertukar pandangan mengenai pengubahsuaian kenderaan,” katanya.

Menurutnya, idea penganjuran tercetus daripada budaya pengubahsuaian kenderaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pemilik kereta tempatan, sekali gus menyediakan ruang untuk mereka mempamerkan hasil kreativiti masing-masing.

Menariknya, acara itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk pameran kereta (auto show), pameran jentera perlumbaan serta persembahan sistem audio kenderaan yang menjadi antara tarikan pengunjung.

Bagaimanapun, kelainan edisi kali ini ialah pengenalan aksi drift yang memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung, sekali gus menambah elemen hiburan dan sukan permotoran dalam acara berkenaan.

Selain aktiviti automotif, penganjur turut menyediakan pelbagai hadiah kepada pengunjung, termasuk hadiah utama sebuah Perodua Myvi generasi pertama yang melalui proses pemulihan restorasi.

Kereta berkenaan diberikan nafas baharu menerusi kerja pembaharuan pada bahagian luaran dan dalaman, termasuk komponen rim, sebelum ditawarkan sebagai hadiah utama kepada pemenang bertuah.

Satu lagi tarikan utama ialah usaha mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi himpunan terbesar kenderaan yang menggunakan lampu ‘raisen’ keluaran syarikat tempatan.

Menurut Shahrim, pihaknya berjaya menghimpunkan kira-kira 600 kenderaan yang menggunakan produk lampu berkenaan dalam usaha mencipta rekod itu.

Dalam pada itu, kreativiti pemilik kenderaan turut dapat dilihat menerusi sebuah Perodua Kancil keluaran 1999 milik Muhammad Faizairudin Abd Bazir dari Pandan Jaya, Ampang, yang tampil dengan konsep Barbie berwarna merah jambu.

Beliau berkata, pengubahsuaian itu adalah kali ketiga dilakukan terhadap Kancil miliknya yang sebelum ini melalui beberapa perubahan daripada bentuk asal kepada gaya Kancil Moderno.

Menurutnya, idea menggunakan konsep Barbie dicetuskan isterinya, Hidayah Yahaya (Puteri Pink), sebagai alternatif kepada tema Hello Kitty yang lebih banyak digunakan dalam kalangan pemilik Kancil.

“Kami mahu tampil dengan sesuatu yang berbeza, jadi kami kekalkan konsep ini dengan warna merah jambu,” katanya.

Beliau berkata, kos pengubahsuaian bagi konsep semasa dianggarkan hampir RM10,000, namun kerja berkenaan masih belum selesai sepenuhnya kerana bahagian dalaman kenderaan turut dirancang untuk diubah suai.

Antara perancangannya ialah memasang bumbung panorama daripada Mini Cooper R53, namun pelaksanaan projek itu masih tertangguh berikutan kekangan kos.

Kancil berkenaan turut menyertai beberapa kategori pertandingan termasuk Kancil Modified, Kancil Custom, Best Kancil, Best JDM dan Best K-Car, selain kategori pelekat serta grafik badan.

Syahrim berkata pihaknya merancang memperluaskan skala penganjuran pada edisi akan datang dengan penglibatan lebih banyak kelab dan komuniti Perodua dari seluruh negara.

Beliau berharap Perodua Fest dapat terus berkembang sebagai acara tahunan yang menghimpunkan pemilik dan peminat jenama berkenaan dalam satu platform, selain memberi ruang kepada mereka mempamerkan kreativiti serta berkongsi minat terhadap dunia automotif.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news