zatuliffah@hmetro.com.my
Baca juga: Portugal hilang bisa tanpa Ronaldo
Kuala Lumpur: Bermula sekadar gurauan bersama pengikut di media sosial mengenai idea menyediakan perkhidmatan sewa basikal, seorang pemuda tidak menyangka ia akhirnya menjadi kenyataan sehingga mendapat sambutan di luar jangkaan.
Muhammad Adam Amri Alias, 25, dari Kuala Nerus, Terengganu berkata, idea itu tercetus pada Ogos lalu ketika melihat rumahnya dipenuhi beberapa basikal lama sebelum dia bergurau dengan pengikutnya mengenai kemungkinan menawarkan perkhidmatan berkenaan.
Katanya, idea itu mendapat maklum balas positif daripada pengikutnya sebelum dia mula memikirkan secara serius potensi untuk merealisasikannya.
“Pada mulanya memang sekadar bergurau tetapi saya fikir tidak salah untuk mencuba sebelum saya membeli dua basikal Jepun sebagai percubaan.
“Memang saya tak sangka perkhidmatan ini mendapat sambutan. Kedudukan rumah berhampiran lokasi tular dikenali sebagai Jalan Jepun atau Kamakura versi Malaysia di Pantai Seberang Takir juga menjadi bonus kerana dapat menarik perhatian ramai untuk mencuba perkhidmatan yang ditawarkan,” katanya.
Muhammad Adam Amri berkata, dia memulakan perkhidmatan sewaan itu pada 24 September lalu dengan bantuan rakan, Muhammad Najmuddin Zulkifli, 25, yang mahir mengendalikan dron.
Dia yang memiliki Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam itu berkata, mereka kini mempunyai tujuh basikal terdiri daripada dua basikal lasak untuk aktiviti sukan, dua basikal Alibaba bagi kegunaan santai dan sukan serta tiga basikal Jepun yang turut menjadi pilihan pengunjung untuk bergambar dengan gaya pakaian harian masing-masing.
Katanya, kadar sewaan ditetapkan RM15 bagi tempoh 30 minit manakala tambahan RM130 dikenakan bagi perkhidmatan dron.
“Alhamdulillah, masuk bulan kedua, saya sudah berjaya menerima kira-kira 120 tempahan. Saya sendiri tidak menyangka gurauan yang pada awalnya tidak dirancang secara serius boleh mendapat sambutan seperti ini,” katanya.
Adam berkata, perkongsian pengalaman pelanggan di media sosial menerusi gambar dan video ketika menggunakan basikal berkenaan turut membantu memperkenalkan perkhidmatan itu kepada orang ramai.
Katanya, pelanggannya bukan hanya datang dari Terengganu, malah turut membabitkan pengunjung dari pelbagai negeri kecuali Sarawak setakat ini.
Menurutnya, dia terharu dengan sambutan diterima terutama apabila mengetahui ada pengunjung sanggup datang dari luar Terengganu untuk mencuba pengalaman berbasikal di kawasan berkenaan.
“Kami memang tidak meletakkan harapan tinggi terhadap idea yang bermula sebagai gurauan itu, namun sambutan menggalakkan diterima dan ia sesuatu yang tidak pernah dijangkakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd