LATEST

Sepanyol pentas aksi final Piala Dunia 2030

Sepanyol pentas aksi final Piala Dunia 2030

Madrid: Presiden Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF), Rafael Louzan menegaskan final Piala Dunia 2030 akan berlangsung di Sepanyol, sekali gus menolak kemungkinan negara itu menarik diri sekiranya hak penganjuran aksi kemuncak berkenaan diberikan kepada Maghribi.

Baca juga: 30 tahun berdepan banjir, para selamatkan barang rumah

Sepanyol menjadi tuan rumah bersama Portugal dan Maghribi bagi edisi 2030, namun keputusan mengenai lokasi perlawanan akhir hanya akan dibuat pada 2028.

Sepanyol ketika ini mencadangkan Stadium Santiago Bernabeu milik Real Madrid sebagai venue final, manakala Maghribi turut mengemukakan Stadium Hassan II berkapasiti 115,000 penonton yang sedang dibina di Benslimane, berhampiran Casablanca.

Portugal pula tidak mempunyai stadium yang sesuai untuk mengendalikan perlawanan akhir berkenaan.

“Tiada perancangan lain selain final berlangsung di Sepanyol,” kata Louzan ketika berucap pada satu persidangan di Ciudad del Futbol, ibu pejabat RFEF di pinggir Madrid.

Beliau turut menegaskan tidak pernah mempertimbangkan kemungkinan Sepanyol menarik diri daripada usaha menjadi tuan rumah final itu.

“Saya tidak mempertimbangkan kemungkinan menarik diri kerana prospek Sepanyol tidak menjadi tuan rumah final bukan sesuatu yang sedang dibincangkan,” katanya.

Kenyataan Louzan itu hadir sebagai respons terhadap pemimpin Parti Rakyat (PP) berhaluan kanan, Alberto Nunez Feijoo yang sebelum ini berkata beliau akan menggesa Sepanyol menarik diri daripada bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia sekiranya Maghribi dipilih sebagai lokasi final.

Feijoo membuat kenyataan itu dalam satu temu bual televisyen pada 5 November lalu, menjelang pilihan raya umum negara berkenaan pada 29 November ini.

Bagaimanapun, Louzan menyifatkan cadangan itu sebagai andaian semata-mata dan menegaskan tiada perbincangan mengenai kemungkinan berkenaan.

Beliau turut berpandangan berdasarkan tradisi penggiliran benua oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), penganjuran final kali ini sewajarnya menjadi milik benua Eropah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news