LATEST

Pengsan ketika mendaki Bukit Bendera

Pengsan ketika mendaki Bukit Bendera

am@hmetro.com.my

Baca juga: Alice Huang wanita misteri di sebalik kontroversi Nvidia

Georgetown: Seorang warga emas yang melakukan aktiviti mendaki di Bukit Bendera, di sini, terpaksa dibawa turun oleh pasukan bomba selepas dilaporkan pengsan di kawasan hutan Stesen 3 Bukit Bendera, di sini, semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa berusia 68 tahun dikatakan terjatuh lalu tidak sedarkan diri di lokasi ketika melakukan aktiviti pendakian bersama seorang rakannya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, A Thanabalan berkata, panggilan diterima pihaknya pada jam 4.13 petang.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa yang dilapor pengsan sudah berada dalam keadaan sedar.

“Mangsa ditemukan pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari kaki bukit ke lokasi,” katanya ketika dihubungi malam tadi.

Mengulas lanjut, Thanabalan berkata, khidmat khas pasukan bomba membantu memimpin mangsa keluar dari kawasan hutan.

Katanya, operasi penyelamatan mangsa mengambil masa selama satu jam.

“Mangsa kemudian diserah kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi dilakukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

“Orang ramai dinasihati supaya sentiasa memastikan tahap kesihatan dan kecergasan fizikal berada dalam keadaan baik sebelum melakukan aktiviti pendakian.

“Aktiviti berkenaan perlu dilakukan secara berkumpulan. Pastikan bawa bekalan serta kelengkapan bersesuaian dan mencukupi,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news