LATEST
National

Rita Rudaini kehilangan abang tersayang

Rita Rudaini kehilangan abang tersayang

KUALA LUMPUR: Pelakon, Rita Rudaini berdepan detik pilu apabila abang sulungnya, Ahmad Musyaiful Mokhtar, meninggal dunia pada jam 1.46 pagi tadi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini.

Baca juga: De Jong cedera, terlepas aksi bersama Belanda

Allahyarham Ahmad Musyaiful, 51, sebelum itu dikejarkan ke hospital selepas rebah ketika menghadiri satu acara membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kelana Jaya.

Rita ketika mengesahkan berita duka itu berkata, dia menerima perkhabaran berkenaan daripada anak saudaranya awal pagi tadi.

Mengakui pemergian insan tersayang itu satu kehilangan besar buat dirinya dan keluarga, Rita turut memohon orang ramai memberikan ruang kepada mereka untuk melalui saat sukar berkenaan.

“Pemergian insan tersayang ini tentunya satu kehilangan yang amat besar buat saya dan seluruh keluarga. Tiada kata yang mampu menggambarkan perasaan saya saat menerima berita duka ini daripada anak arwah awal pagi tadi.

“Saya memohon agar semua dapat mendoakan supaya roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh.

“Saya juga memohon agar diberikan ruang kepada saya dan keluarga untuk melalui saat sukar ini dengan tenang.

“Terima kasih kepada semua yang menitipkan doa, ucapan takziah dan memberikan sokongan kepada kami sekeluarga,” katanya kepada BH Online.

Setakat ini, punca kematian Allahyarham masih belum disahkan.

Jenazah dijangka dibawa pulang ke kampung halaman keluarga di Kangar, Perlis, untuk dikebumikan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news