mohdsyazwan@hmetro.com.my
Baca juga: Wales tumbangkan All Blacks selepas 73 tahun
Serdang: Tubuhnya mungkin lebih besar berbanding pemain lain, namun jangan sesekali memandang rendah kemampuan Mohd Alif Sanusi apabila dia mula memijak gelanggang sepak takraw.
Lebih mesra disapa Bob, pemain berusia 16 tahun itu mencuri perhatian dengan penampilannya sebagai tekong utama pasukan Tun Hussein Onn THO sepanjang saingan Liga Takraw Nasional Mekdi 2026 Zon Tengah-Selatan di Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Di sebalik fizikal yang agak berbeza daripada kebanyakan pemain, Alif membuktikan dia juga memiliki keberanian, kemahiran dan kelincahan untuk bersaing, malah kepercayaan diberikan jurulatih untuk menggalas tugas sebagai tekong utama bukan sesuatu yang disia-siakan.
Keupayaannya membantu THO melangkah ke pusingan 16 terbaik sebelum tersingkir di tangan MBPG membuktikan saiz tubuh bukan ukuran sebenar kemampuan seseorang atlet untuk memberikan saingan di gelanggang.
Lebih membanggakan, pemain Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Hussein Onn itu tidak pernah menganggap fizikalnya sebagai kekurangan, apatah lagi menjadikannya alasan untuk menjauhkan diri daripada sukan yang diminatinya.
Sebaliknya, Alif memilih untuk menjawab segala persepsi menerusi aksi di gelanggang, sekali gus membuktikan pemain berbadan besar juga mempunyai tempat dalam sukan sepak takraw.
“Saya tetap berkeyakinan tinggi setiap kali beraksi di gelanggang dan ini bukan kali pertama saya menyertai kejohanan, malah jurulatih turut memberi kepercayaan kepada saya untuk membimbing pasukan.
“Bagi saya, perkara paling penting adalah kerjasama dalam pasukan serta membentuk keserasian antara pemain,” kata anak sulung daripada tiga beradik.
Mengimbas permulaannya dalam sukan itu, Alif mula menggalas tugas sebagai tekong sejak darjah lima dan pengalaman berkenaan sedikit sebanyak membentuk keyakinan dirinya untuk terus berkembang sebagai pemain.
Dia juga tidak mahu berhenti setakat pencapaian bersama THO, sebaliknya memasang impian untuk mengembangkan karier ke tahap lebih tinggi dengan menjadikan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) sebagai sasaran berikutnya.
“Sasaran saya adalah untuk beraksi di peringkat tertinggi dengan bermula di temasya Sukan Malaysia (SUKMA).
“Pada masa sama, saya mahu membuktikan pemain berbadan besar juga mampu bersukan dan bersaing dengan pemain lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd