LATEST
National

38 lokasi berisiko kepala air di 12 daerah di Kedah, Baling paling banyak

38 lokasi berisiko kepala air di 12 daerah di Kedah, Baling paling banyak

ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti 38 lokasi berisiko berlakunya kepala air di 12 daerah di Kedah.

Baca juga: Cristianinho sertai skuad bawah 17 tahun Portugal

Pengarah JBPM Kedah, Awang Hidzel Awang Bujang, berkata daripada 12 daerah itu, Baling merekodkan jumlah lokasi berisiko tertinggi iaitu 11 kawasan.

Ini meliputi Lata Celak Iboi di Kupang, Teratak Simpul, Air Panas Ulu Legong, Kuala Kedua, Lubuk Badak, Sungai Pam, Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering, Lata Bayu dan Lata Bukit Hijau.

Daerah lain turut mempunyai kawasan berisiko ialah Kubang Pasu (Surau Sungai Batu di Bukit Kayu Hitam, Bukit Wang), Guar Chempedak (Kem Rekreasi Puteri Mandi, Taman Rekreasi Sungai Badak, Sungai Bukit Kuari), Kulim (Sungai Sedim, Ulu Paip, Lata Bukit Hijau, Air Putih Junjung) dan Padang Terap (Puncak Janing, Sungai Seraya).

Empat lokasi di Langkawi membabitkan Lubuk Semilang, Durian Perangin, Telaga Tujuh dan Air Terjun Temurun, manakala Pendang (Rimba Rekreasi Bukit Perak), Bandar Baharu (Batu Hampar Air Putih) serta Kuala Muda (Batu Pahat Muzium Arkeologi, Damai Park Resort, Pusat Peranginan Tupah).

Sehubungan itu, Awang Hidzewl menasihatkan orang ramai peka dengan siren amaran ditempatkan di lokasi berisiko dikenal pasti itu dan segera beredar sekiranya terdapat tanda-tanda akan berlakunya kepala air.

“Ini termasuk air bertukar menjadi keruh, air mengalir laju dengan disertai ranting kayu serta daun kering, deruan air dari atas gunung atau bukit serta awan bertukar gelap di bahagian atas, ” katanya ketika ditemui.

Untuk persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 ini, beliau berkata JBPM Kedah mengadakan latihan menghadapi kepala air di Sungai Sedim baru-baru ini.

Pemilihan Sungai Sedim, katanya dibuat mengambil kira risiko lokasi itu termasuk pernah merekodkan kes kematian dalam kejadian terbaru 17 Julai lalu.

Dalam kejadian Julai lalu, tiga mangsa ditemukan lemas adalah Nur Atikah Abdullah, 28, dan sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi yang berusia tiga tahun, manakala seorang lagi mangsa dari keluarga berasingan iaitu Muhammad Uzair Ahmadi Hussain, 12.

Semua mangsa dipercayai melakukan aktiviti riadah dan berkelah di kawasan Tree Top Walk iaitu di kaki kawasan Gunung Bintang sebelum sungai itu dilanda kepala air.

Selain di Sungai Sedim, kejadian kepala air di Titi Hayun di Yan pada 19 Ogos 2021 turut mengorbankan enam individu, manakala kejadian di Kampung Iboi di daerah Baling pada 4 Julai 2022 menyebabkan tiga beranak meninggal dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news